Kota Kinabalu: Perbezaan politik perlu diketepikan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berakhir dan kini tiba masanya untuk memberi tumpuan kepada keperluan rakyat, kata Datuk Seri Masidi Manjun.
“Pilihan raya sudah berakhir. Mari kita berhenti bercakap tentang parti ini atau parti itu. Sekarang adalah masanya untuk kita mula bekerjasama,” kata Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu pada Sabtu.
Beliau menambah semua parti perlu bekerjasama demi kepentingan rakyat sepanjang tempoh lima tahun akan datang.
Masidi, yang berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Karanaan pada PRN Sabah 29 Nov lalu, turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat Ranau atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk terus mewakili kawasan itu.
“Marilah kita tunggu lima tahun lagi sebelum bercakap soal parti. Hari ini adalah masa untuk rakyat Ranau membuktikan kecemerlangan dan menunjukkan bahawa kita mampu menjadi yang terbaik di Sabah,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Masidi menafikan dakwaan amalan kempen tidak beretika yang dibangkitkan oleh calon Bebas, Naomi Francis, yang memohon kebenaran untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi membatalkan keputusan pilihan raya Karanaan.
Naomi menamakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Masidi sebagai responden dalam kes berkenaan dengan mendakwa SPR gagal memastikan pilihan raya yang adil di Karanaan.
Beliau turut mendakwa berlakunya pembelian undi, antara isu lain, dalam pemfailan mahkamahnya.
Masidi, yang memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,361 undi, menyifatkan dakwaan terbabit sebagai tidak berasas dan berkata semua pihak perlu menghormati proses demokrasi.
Naomi memperoleh 115 undi dalam pertandingan tujuh penjuru.