Kota Kinabalu: Seorang warga Filipina tanpa dokumen dan tidak bekerja dijatuhi hukuman penjara 14 hari oleh Mahkamah Majistret pada Isnin atas kesalahan mencuri di sebuah pasar raya.
Tertuduh Kadir Jimi, 28, mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin kerana mencuri dua tin Bintai Food Luncheon Meat dan enam tin Bintai Canned Choice Ham bernilai RM81.92 milik Servay Evergreen Sdn Bhd di Servay KK Plaza kira-kira jam 12 tengah hari pada 28 Disember tahun lalu.
Pendakwaan oleh Inspektor Yusdi Basri memaklumkan seorang pekerja kedai menyedari seorang lelaki yang kemudian dikenal pasti sebagai Kadir memasukan barangan makanan dalam tin ke dalam beg sebelum cuba keluar dari premis tersebut. Pekerja berkenaan kemudian menahanya untuk pemeriksaan.
Kadir kemudianya diserahkan kepada pihak polis dan semua barangan yang dicuri turut dirampas.
Kadir didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.
Tanpa diwakili peguam Kadir memohon hukuman ringan. Bagaimanapun Yusdi memohon hukuman berbentuk pencegahan serta merujuk tertuduh kepada Jabatan Imigresen memandangkan dia tidak mempunyai dokumen sah selain memaklumkan barangan yang dicuri berjaya dirampas dalam keadaan baik.
Mahkamah memerintahkan Kadir menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap dan selepas itu dirujuk kepada Jabatan Imigresen.
Dalam kes lain seorang wanita berusia 27 tahun didenda RM1,700 atau dipenjara sebulan kerana memiliki tiket loteri haram dua tahun lalu.
Rafidah Abd Rahman mengaku bersalah memiliki tiga keping tiket loteri awam tanpa lesen di laluan pejalan kaki sebuah restoran di Donggongon, Penampang pada jam 12.55 tengah hari, 29 Julai 2024.
Pendakwaan memaklumkan sepasukan polis yang menjalankan “Op Dadu” telah menahan Rafidah dan merampas tiket berkenaan. Analisis oleh pakar perjudian mengesahkan tiket itu adalah haram sekali gus menjadikan Rafidah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Dalam satu lagi kes berasingan seorang wanita berusia 53 tahun didenda RM100 atau dipenjara tiga hari kerana gagal memberi penjelasan munasabah berhubung kemasukan wang tunai ke dalam akaun banknya.
Roslaini Puasa mengaku bersalah memiliki wang RM2,100 dalam akaun Maybank miliknya yang gagal dijelaskan secara memuaskan pada 27 September 2024, jam 7.58 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Sabah).
Mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan bahawa wang tersebut dipindahkan ke dalam akaun Roslaini susulan satu kes penipuan pembelian kereta yang disyaki.
Pengadu dilaporkan telah membayar wang itu sebagai deposit selepas berurusan dengan individu yang menyamar sebagai ejen kereta melalui WhatsApp namun gagal mendapatkan semula wang berkenaan.
Siasatan mendapati wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun Roslaini dan tertuduh tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai transaksi tersebut.