SANDAKAN: Kerja pembinaan di sebuah tapak pembangunan di Batu 2 berhampiran stesen minyak Petronas dikritik ekoran menimbulkan risiko keselamatan serius kepada penduduk setempat serta pengguna jalan raya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Elopura Calvin Chong yang melakukan pemeriksaan di tapak berkenaan mendapati pemaju mengangkut mendapan tanah dan bahan binaan ke jalan awam tanpa langkah pembersihan yang sewajarnya.
Beliau berkata keadaan itu menyebabkan jalan dilitupi lumpur tebal sekali gus menyukarkan pergerakan kenderaan serta meningkatkan risiko kemalangan.
“Situasi berkenaan juga mengakibatkan sistem perparitan tersumbat teruk dan menimbulkan kebimbangan berlakunya banjir kilat ketika hujan lebat.
“Keadaan terbabit jelas mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab pemaju yang kelihatan lebih mengutamakan keuntungan berbanding keselamatan dan kesejahteraan komuniti,” katanya.
Berikutan itu beliau menggesa pihak berkuasa tempatan dan pemaju mengambil tindakan segera bagi membersihkan jalan raya, membaiki sistem perparitan serta memastikan keselamatan awam terjamin.
Chong turut memberi amaran mengenai kesan alam sekitar jangka panjang termasuk pencemaran air akibat mendapan tanah yang mengalir ke saluran perparitan.
Beliau juga meminta pemaju memasang kemudahan pencucian tayar kenderaan, menutup kawasan tanah terdedah serta memastikan tapak pembinaan mematuhi piawaian keselamatan dan alam sekitar.
“Keselamatan rakyat mesti diutamakan. Pembangunan tidak boleh diteruskan secara cuai sehingga menjejaskan kehidupan harian penduduk. Saya akan terus memantau isu ini dan menuntut tindakan sekiranya ia tidak diselesaikan dengan segera,” katanya.