BEAUFORT: Jabatan Kerja Raya (JKR) melaporkan tujuh jalan utama di daerah ini terjejas akibat banjir susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.
Dalam satu kenyataan, JKR Sabah memaklumkan jalan terlibat ialah Jalan Suasa, Jalan Balibata, Jalan Binunuk, Jalan Luagan, Jalan Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Batu 60, Jalan Kompleks Sukan dan Jalan Lintas Pekan, selain Jalan Bandau di Kuala Penyu.
Menurut kenyataan itu, dua jalan iaitu Jalan SRK Batu 60 dan Jalan Lintas Pekan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan dan ditutup sepenuhnya.
“Jalan lain yang terjejas seperti Jalan Binunuk hanya selamat dilalui kenderaan tinggi.
“Selebihnya masih boleh dilalui semua kenderaan selepas tindakan awal diambil dengan pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP),” menurut jabatan itu.
JKR turut mencadangkan beberapa laluan alternatif untuk kegunaan orang ramai.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Ishak Jabas, berkata kebanyakan jalan utama masih boleh dilalui kecuali laluan ke Kampung Suasa dan Kampung Bangkalalak.
“Berdasarkan trend semasa, paras air banjir semakin meningkat berikutan pelepasan air dari Empangan Hidro Pangi Tenom, ditambah dengan keadaan air pasang tinggi yang masih berterusan,” katanya pada Isnin.
Beliau berkata anggota bomba terpaksa menggunakan bot penyelamat bagi memindahkan mangsa banjir kerana beberapa jalan tidak lagi boleh diakses kenderaan.
Menurutnya, paras air ketika ini masih berada di bawah aras 9.44 meter, namun dijangka meningkat sekiranya hujan berterusan di daerah ini. Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan banjir yang semakin buruk.