Kota Kinabalu: Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada maksimum dua penggal dijadual dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, kata Ketua PGRS Bahagian Lumadan, Datuk Mazlan Joehari Manan.
Beliau berkata RUU itu dijangka membawa pembaharuan serta transformasi kepimpinan politik di Sabah, selain mengukuhkan asas demokrasi negeri pada masa depan.
RUU berkenaan – antara janji manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) lalu – turut dijangka mewujudkan transformasi politik serta melahirkan kepimpinan baharu dengan idea pembangunan lebih segar.
“RUU ini telah dibincangkan dan diluluskan oleh Jemaah Menteri Sabah dan akan dibentangkan pada sidang DUN akan datang sebagai salah satu inisiatif memperkasa kepimpinan Sabah pada masa depan.
“Pada masa sama, ia dapat mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh mana-mana Ketua Menteri, khususnya berkaitan nepotisme dan kronisme jika seseorang terlalu lama berkuasa.
“Selain itu, ia dapat menghalang penumpuan kuasa kepada seorang individu yang memegang jawatan Ketua Menteri untuk tempoh terlalu lama,” katanya pada Selasa.
Mazlan, yang juga Pegawai Khas kepada Ketua Menteri, berkata sekiranya RUU itu memperoleh sokongan dua pertiga ahli DUN, ia akan membantu mengelakkan konsep pemimpin kekal berkuasa.
Menurutnya, langkah itu turut membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada pemimpin baharu dengan idea lebih segar, berbanding bergantung kepada pemikiran seorang pemimpin yang telah lama berkuasa.
“Ketua Menteri yang terikat dengan tempoh masa akan mengurangkan survival politik dan sebaliknya lebih fokus kepada pencapaian serta mempercepat pelaksanaan dasar berimpak tinggi.
“Ini merupakan usaha yang sedang dilaksanakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, bagi memastikan Sabah terus bergerak maju di bawah kepimpinan yang lebih dinamik,” katanya.
Untuk rekod, Yang Dipertua Negeri Sabah ketika ini, Tun Musa Aman, merupakan Ketua Menteri paling lama berkhidmat dengan tempoh hampir 15 tahun. Tiga Ketua Menteri lain masing-masing berkhidmat selama sembilan tahun iaitu Tun Mustapha (Usno), Tan Sri Harris Salleh (Berjaya) dan Tan Sri Pairin Kitingan (PBS).
Semasa pelaksanaan sistem penggiliran, beberapa Ketua Menteri berkhidmat selama dua tahun iaitu Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP), Datuk Osu Sukam (Umno) dan Tan Sri Chong Kah Kiat (LDP).
Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Tan Sri Sakaran Dandai, kedua-duanya daripada Umno, masing-masing berkhidmat selama setahun manakala Tan Sri Bernard Dompok (Upko) selama sembilan bulan.
Sebelum pilihan raya negeri pertama, dua Ketua Menteri dilantik iaitu Donald (kemudiannya Tun Fuad) Stephens yang berkhidmat selama 18 bulan bermula 1963 dan Tan Sri Peter Lo dari 1965 hingga 1967.
Stephens kemudiannya bertanding dan memenangi pilihan raya pada 1976, namun terkorban dalam nahas pesawat Nomad dalam tempoh dua bulan selepas itu.