Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 24 tahun didenda RM5,000 atau dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret pada Selasa kerana melakukan khianat dengan menyimbah cat merah ke atas sebuah kereta dan sebuah rumah.
Tertuduh Shahrul Iqmal Saidin mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas pertuduhan melakukan perbuatan tersebut terhadap sebuah kenderaan dan bahagian hadapan sebuah rumah di Luyang sehingga menyebabkan kerosakan melebihi RM25 pada 2 Januari lalu kira-kira jam 12.50 tengah hari.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa pada hari kejadian pengadu berada di dalam rumah sebelum terhidu bau kuat seperti petrol. Setelah memeriksa di luar pengadu mendapati terdapat cecair merah disiram di kawasan hadapan rumahnya serta pada kereta yang diparkir di luar pagar.
Turut ditemui dua keping nota yang dilekatkan pada cermin hadapan kereta dan pintu pagar rumah mengandungi nombor telefon serta mesej menuntut bayaran hutang.
Siasatan mendapati pengadu pernah meminjam wang melalui Facebook pada November 2025 dan tidak membuat sebarang bayaran balik sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan keluarganya.
Pengadu kemudian membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan Shahrul oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.
Siasatan mengesahkan tertuduh melakukan perbuatan khianat dengan menyiram cecair merah ke atas harta pengadu menyebabkan kerugian melebihi RM25.
Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 27 tahun dipenjara lapan minggu kerana memiliki kabel yang dipercayai hasil curi.
Naironsius Damasius mengaku bersalah memiliki tujuh gulung kabel yang gagal diberi penjelasan munasabah mengenai cara memperolehnya pada 11 Jan lalu kira-kira jam 2.40 petang di Jalan KKIP 2, Sepanggar.
Dia didakwa mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Sabah) yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM100 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan memaklumkan bahawa tertuduh ditahan polis dan pemeriksaan mendapati beberapa gulung kabel berada berhampiran dirinya.
Tertuduh gagal memberikan penjelasan munasabah mengenai pemilikan barangan tersebut lalu ditahan.
Kes pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.