Kota Kinabalu: Seorang ustaz berusia 71 tahun didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan tahun lalu.
Tertuduh Ahmad Matali mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan terhadap pertuduhan yang dihadapinya pada Selasa.
Bagaimanapun mahkamah menangguhkan hukuman terhadap Ahmad ke 13 Februari tahun ini bagi membolehkan fakta kes dikemukakan.
Bagi pertuduhan pertama Ahmad didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun pada kira-kira jam 6.30 petang, 5 Oktober 2025 di sebuah rumah di Papar.
Bagi pertuduhan kedua tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun dengan mencium mangsa pada waktu pagi di tepi jalan juga di Papar pada akhir Jun 2025.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah turut memerintahkan Ahmad direman lanjut sementara menunggu pelupusan kes.
Terdahulu pihak pendakwaan membantah permohonan jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan tersebut adalah serius namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan berserta beberapa syarat ketat dikenakan terhadap tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis manakala Ahmad tidak diwakili peguam.