TAWAU: Tindakan proaktif bagi mencegah kejadian banjir yang melanda Kampung Bukit Segenggam, Tanjung Batu Keramat di sini pada 9 Januari lalu daripada berulang dilihat amat diperlukan demi keselamatan penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu, Dr Andi Shamsureezal Mohd Sainal berkata pihaknya kini dalam rangka mengadakan pertemuan dengan jabatan dan agensi berkaitan bagi meneliti penyelesaian yang ada.
“Walaupun banjir sering berlaku di kawasan ini namun kita perlu mengetahui punca sebenar masalah serta berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mendapatkan keterangan lanjut,” katanya pada majlis penyerahan bantuan kepada 20 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 95 mangsa di Pusat Penempatan Sementara (PSS) Masjid Al-Mukarramah di sini, Sabtu lalu.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar itu berkata pihaknya memberi tumpuan kepada penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang khususnya bagi mengurangkan impak banjir.
“Kita sedar langkah membina tebatan banjir atau membesarkan sungai akan memakan masa yang lama namun kita juga tidak boleh menunggu terlalu lama kerana masyarakat terjejas akan terus berdepan ancaman banjir.
“Kita akan berusaha mencari penyelesaian jangka pendek terlebih dahulu dalam masa terdekat termasuk menilai semula keadaan jambatan yang menjadi penghubung utama di sekitar kawasan terjejas,” katanya.
Menurutnya, walaupun penduduk terjejas telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, pemantauan berterusan akan dilakukan oleh pihak berwajib bagi mengelakkan masalah yang lebih besar.
Beliau menasihatkan penduduk di sekitar Dun Tanjung Batu yang terdedah banjir, khususnya di Kampung Bukit Segenggam, supaya sentiasa berwaspada berikutan cuaca yang tidak menentu.
Sementara itu, Ketua Kampung Tanjung Batu Keramat Abdul Rahman Borhan, 70, berharap tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkuasa bagi mencegah banjir daripada berulang atau sekurang-kurangnya mengurangkan impak kejadian berkenaan.
“Semenjak kampung kami dibuka pada 1969, banjir kali ini antara yang terburuk kerana lazimnya paras air hanya mencecah buku lali namun kejadian terbaharu mencapai paras antara betis dan pinggang,” katanya.