LAHAD DATU: Tiga lelaki, termasuk seorang penduduk tempatan, ditahan dalam dua operasi berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik pada Isnin.
Ketua Polis Daerah ACP Dzulbaharin Ismail berkata dalam operasi pertama, seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun ditahan di Kampung Bakau selepas polis menemui 0.21 gram bahan disyaki syabu dalam simpanannya.
Ujian air kencing turut mengesahkan lelaki terbabit mengambil dadah.
Dalam operasi kedua, dua lelaki warga asing ditahan di belakang sebuah bangunan pasar raya di Jalan Reno Fajar.
Hasil pemeriksaan menemukan 0.23 gram syabu pada seorang suspek manakala seorang lagi tidak memiliki sebarang bahan terlarang. Namun, ujian air kencing mengesahkan kedua-duanya telah mengambil dadah.
“Semua suspek ketika ini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) kerana mengambil dadah,” katanya.