RANAU: Polis di sini menahan seorang tukang kayu warga asing selepas dia mengugut untuk membunuh rakan senegaranya susulan dakwaan rakaman video berkaitan kerja pengubahsuaian pada Isnin.
Mangsa lelaki berusia 41 tahun itu berada di dalam keretanya yang diparkir di hadapan Pasar Buah dan Sayur Pekan Ranau apabila didatangi suspek.
Suspek lelaki berusia 58 tahun itu mengarahkan mangsa keluar dari kereta dan mengugut untuk membunuhnya sekiranya enggan berbuat demikian. Sebaik sahaja mangsa keluar dari kenderaannya, dia ditendang oleh suspek.
Mangsa turut menyedari terdapat rantai besi yang dililit pada tangan suspek dan disembunyikan dengan sehelai kain.
Kejadian berpunca apabila suspek menuduh anak mangsa merakam video menggunakan telefon bimbit ketika perbincangan mengenai harga membaiki rumah majikannya bernilai RM62,000 dan mendakwa perkara itu sampai ke pengetahuan majikannya.
Bagaimanapun, mangsa berkata anaknya tidak membuat rakaman video serta tidak pernah memaklumkan perkara itu kepada majikan suspek.
Mangsa turut menerima maklumat daripada abangnya bahawa suspek telah mengasah sebatang besi Y10 yang didakwa akan digunakan untuk menikam mangsa.
Bertindak atas maklumat, pada hari sama kira-kira jam 11.01 malam, suspek ditahan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Paka 2.
Penahanan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan ringan ke atas individu lain.
Jika sabit kesalahan, suspek dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali (Seksyen 506) dan penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali (Seksyen 323).