TAWAU: Seorang wanita terkejut selepas mendapati suami baharunya merakam secara rahsia dan menyimpan video dia dan dua anak perempuannya ketika berada di dalam bilik air.
Pemeriksaan lanjut terhadap telefon pintar milik suspek turut menemukan simpanan video dua anak perempuannya, disyaki turut dirakam tanpa pengetahuan, di Kampung Tanjung Batu Laut di sini, pada Ahad.
"Mangsa melaporkan insiden membabitkan dirinya dan dua anaknya itu pada jam 6.27 petang kepada pihak polis, sebelum membawa kepada penahanan suspek,” kata Ketua Polis Daerah ACP Jasmin Hussin, Selasa.
Jasmin berkata buruh tempatan berumur 39 tahun itu didakwa menghendap isteri dan dua anak tirinya semasa berada di dalam bilik air.
Perbuatannya terbongkar selepas salah seorang anak tiri suspek, berusia 12 tahun, menemui telefon pintar yang disembunyikan di sekitar kawasan bilik air sebelum menyerahkannya kepada pengadu.
"Telefon pintar suspek didapati masih dalam mod aktif merakam video ketika ditemui, malah terdapat 10 rakaman isteri dan anak-anak tirinya dalam keadaan mengaibkan semasa menggunakan bilik air,” kata Jasmin.
Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan awal polis mengesyaki semua rakaman video yang ditemui berada dalam simpanan telefon pintar suspek dilakukan oleh lelaki terbabit tanpa pengetahuan ketiga-tiga mangsanya.
Beliau berkata, penemuan kandungan telefon pintar itu sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan ahli keluarga mereka termasuk motif rakaman video itu dibuat sehinggalah suspek mengakui perbuatannya.
Tambahnya, siasatan dibuka di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh dan Seksyen 509 kanun yang sama akibat mengaibkan kehormatan orang lain.
Pada masa sama, polis mengingatkan orang ramai bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku yang dikenalpasti terlibat dalam perbuatan tidak bermoral dan mencabul kehormatan atau privasi orang lain.