Kota Kinabalu: Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman (kanan) menerima kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud (kedua, kanan) di Istana Seri Kinabalu, di sini, Selasa.
Mustapha berkata pertemuan itu bertujuan mendapatkan pandangan kerajaan negeri berhubung keutamaan pelaksanaan dan perancangan berkaitan isu-isu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Antara perkara yang dibincangkan ialah cadangan formula 40 peratus hasil serta bagaimana peruntukan tersebut, setelah dimuktamadkan, boleh dimanfaatkan bagi menangani masalah infrastruktur berlarutan di Sabah, khususnya dari segi perhubungan jalan raya, bekalan air dan tenaga elektrik.
“Bagi saya, ini merupakan keutamaan utama dan rakyat Sabah mahu kejelasan mengenai status semasa rundingan. Saya akan mengambil tindakan susulan bagi memastikan perkara-perkara ini dapat dirundingkan dengan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan itu.
Kunjungan hormat berkenaan juga memberi ruang kepada Mustapha untuk memperkenalkan dirinya secara rasmi sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang baharu, selain memaklumkan kepada Tun Musa mengenai perkembangan terkini rundingan MA63.
Turut hadir ialah Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Mohd Razali Wahab, Setiausaha Politik Ahmad Nazib Johari, Setiausaha Bahagian Mohd Saiful Sungkih Abdullah dan Setiausaha Sulit Kanan Khairul Iswadi Ishak.