BEAUFORT: Pejabat Daerah akan terus memantau secara rapi pelaksanaan projek pembaikan hakisan di beberapa lokasi sepanjang Sungai Padas yang rosak akibat banjir, kata Pegawai Daerah Mohd Nazri Ajun.
Antara kerja pembaikan utama ialah pemulihan cerun tebing sungai sepanjang kira-kira 250 meter di Jalan Binunuk, berikutan kawasan itu terjejas teruk akibat banjir dan arus deras Sungai Padas.
“Jika pembaikan tidak dilaksanakan, ia akan menjejaskan akses penduduk ke pekan dan pembaikan segera perlu dilakukan kerana keadaan ini menimbulkan risiko yang lebih besar kepada komuniti,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan tapak ke projek pembaikan tanah runtuh di Kampung Binunuk, baru-baru ini.
Jika tidak dibaiki, kerosakan itu akan menjejaskan penduduk kerana mereka tidak dapat bergerak ke pekan Beaufort atau ke lokasi lain.
.jpg)
Nazri berkata sejak tahun lalu perbincangan telah diadakan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengambil tindakan segera untuk membaiki cerun yang rosak di sepanjang jajaran 250 meter itu.
Tambahnya, projek pembaikan cerun berkenaan dilaksanakan oleh JKR Beaufort di bawah program Pembangunan Infrastruktur Kampung dengan peruntukan berjumlah RM5.5 juta.
Insiden runtuhan cerun itu dikaitkan dengan kejadian banjir kerap serta hujan lebat berpanjangan, yang menyebabkan arus sungai menjadi lebih deras dan memburukkan keadaan tebing sungai.
Selain itu, lima hingga enam lokasi lain di sepanjang Sungai Padas telah dikenal pasti sebagai kawasan kritikal.
Penduduk dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu kerana hakisan dan banjir boleh berlaku semasa tempoh hujan lebat.