USAHA berterusan Sabah untuk memulihkan hak perlembagaannya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kini membentuk pembaharuan perundangan dan institusi utama di negeri ini.
Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Soh berkata pematuhan kepada kedaulatan undang-undang kekal sebagai teras dalam melindungi kedudukan Sabah dalam Persekutuan, khususnya ketika pengaturan perlembagaan yang sekian lama terabai sedang disemak dan dilaksanakan.
Beliau berkata 2026 dijangka menyaksikan kemajuan lanjut berkaitan MA63, termasuk pengaktifan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan yang dijangka memperluaskan kuasa perundangan kepada Sabah bagi mengawal selia sisa berjadual.

“Ini akan membolehkan pindaan kepada Enakmen Perlindungan Alam Sekitar serta mengukuhkan kawalan di peringkat negeri terhadap bahan berbahaya.
“Saya mengalu-alukan persetujuan Kerajaan Persekutuan, pada prinsipnya, untuk meminda Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan Perlembagaan Persekutuan bagi memulihkan secara rasmi peranan Ketua Negeri di Sabah dan Sarawak dalam memperakukan calon pelantikan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.
“Dalam kesinambungan MA63, Sabah juga akan meneruskan libat urus secara konstruktif dengan Jabatan Peguam Negara Persekutuan untuk menuntut semula kuasa kawal selia terhadap sektor pelancongan, memandangkan pelancongan pada asalnya merupakan kuasa baki negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan sebelum dipindahkan ke Senarai Persekutuan pada 1994,” katanya.
Soh juga mengalu-alukan sokongan terhadap cadangan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak untuk memulihkan perwakilan melebihi satu pertiga, yang disifatkannya sebagai perlindungan penting sebagaimana dibayangkan semasa pembentukan Malaysia.
Beliau berkata beberapa enakmen negeri yang diluluskan baru-baru ini turut mencerminkan usaha Sabah memperkukuh autonomi dan tadbir urus, termasuk pindaan kepada Ordinan Tanah bagi memperkenalkan prinsip kemuktamadan hak milik, pembaharuan rangka kerja Cukai Jualan Negeri, serta penggubalan Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025 yang memperuntukkan hak karbon kepada negeri.
Soh berkata keputusan Mahkamah Rayuan Paris bulan lalu yang membatalkan anugerah timbang tara yang melibatkan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu lama telah memberi kejelasan serta jaminan berhubung kedaulatan Sabah dan integriti Persekutuan.
Beliau menambah bahawa Jabatan Peguam Negeri Sabah akan terus memperkukuh keupayaan institusi melalui peluasan latihan kepada pegawai undang-undang, di samping membuat persediaan menghadapi peningkatan impak kecerdasan buatan terhadap amalan perundangan dan tadbir urus.
Menurutnya, biarpun teknologi akan mengubah cara kerja undang-undang, tanggungjawab perlembagaan, pertimbangan profesional dan penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang tetap tidak boleh digantikan.
Perarakan sejauh 2.6 kilometer dari Dewan Hakka, Tanjung Lipat ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) diteruskan walaupun dalam keadaan hujan.