TAWAU: Sebuah bot nelayan pukat tunda tempatan dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan pesisir pantai kira-kira 1.1 batu nautika dari Timur Laut Kalabakan pada jam 9.15 pagi pada Jumaat.
Kehadiran bot nelayan yang hanya diizinkan untuk beroperasi di kawasan laut dalam itu dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau ketika menarik pukat tunda.
Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata kehadiran bot nelayan terbabit yang disyaki memasuki kawasan larangan untuk beroperasi itu dikesan dalam Op Pluto Timur dan Op Sejahtera.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, pasukan kita menemui tiga lelaki warga asing yang juga pemegang pasport terdiri daripada juragan dan dua awak-awak berumur 28 hingga 46 tahun”, katanya di sini pada Sabtu.
Ariffin berkata tindakan penguatkuasaan diambil terhadap bot dan kesemua lelaki terlibat kerana disyaki melanggar syarat sah operasi lesen apabila menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan tidak dibenarkan.
Berikutan itu juga, pasukannya membawa juragan, awak-awak, bot, pukat tunda dan semua muatan hasil laut yang ditahan ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.
“Nilai keseluruhan rampasan yang disita di dalam kes kali ini dianggarkan bernilai lebih RM58, 000”, katanya sambil mengingatkan nelayan laut dalam supaya tidak memasuki kawasan pesisir untuk menangkap ikan.
Mengulas lanjut Maritim Tawau selalu menerima keluhan daripada nelayan-nelayan pesisir yang terjejas dengan kehadiran bot pukat tunda yang sering dilihat muncul menangkap ikan di kawasan berkenaan.
Beliau berkata pihaknya memandang serius perkara itu disebabkan aktiviti menarik pukat tunda di kawasan pesisir pantai boleh merosakkan ekosistem laut dan peralatan menangkap ikan nelayan kecil dan tradisional.
“Kita harap orang ramai dapat membantu menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan sebarang aktiviti mencurigakan di laut kepada Pusat Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 untuk tindakan segera”, katanya.