RANAU: Polis menahan dua lelaki tempatan dalam Ops Tapis berasingan yang dijalankan baru-baru ini.
Kes pertama melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang ditahan selepas polis menemui 19 botol air ketum dalam satu serbuan di sebuah kampung pada Ahad.
Tangkapan dibuat kira-kira jam 6.50 petang apabila sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau menjalankan pemeriksaan di rumah suspek yang merupakan seorang penganggur.
Selain 19 botol air ketum polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses minuman tersebut antaranya tong gas, dapur, periuk, bekas polistirena putih serta sebuah tong plastik berwarna kuning.
Sementara itu dalam kes berasingan pihak polis menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 41 tahun atas kesalahan sama di Kampung Sagindai Lama pada Sabtu.
Hasil pemeriksaan mendapati satu botol plastik mengandungi cecair disyaki air ketum diletakan di atas meja di hadapan suspek ketika kejadian berlaku.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memiliki, menjual, mengedar atau memproses daun ketum tanpa kebenaran.
Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.