Kota Kinabalu: Industri pelancongan Sabah perlu bersatu dalam usaha mempromosi secara kolektif bagi kekal berdaya saing menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TTM2026) kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Convention Bureau Noredah Othman.
Beliau menegaskan bahawa pertambahan bekalan bilik hotel termasuk pelancaran awal Howard Johnson by Wyndham Kota Kinabalu memerlukan pemasaran yang lebih kukuh dan terselaras supaya Sabah tidak ketinggalan berbanding destinasi jiran yang semakin agresif.
“Semakin banyak bilik hotel semakin penting untuk kita memperkukuh promosi. Kita tidak bersendirian dalam pemasaran destinasi.
“Negara jiran sangat kuat jadi kita perlu menyokong semua pemain – daripada kemudahan konvensyen hingga operasi pelancongan,” katanya selepas majlis pelancaran hotel berkenaan.
Noredah menekankan bahawa semua pihak berkepentingan termasuk pengusaha hotel, pengendali pelancongan, pusat konvensyen dan agensi kerajaan mesti mengelakkan pendekatan bekerja secara berasingan.
“Kita mempromosikan destinasi secara kolektif bukan produk individu. Kita perlu bergerak sebagai satu pasukan untuk mencari dan merebut peluang kerana persaingan sangat sengit,” katanya.
Beliau turut menyatakan keperluan untuk meneroka pertumbuhan sektor mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dalam suasana persaingan global yang semakin mencabar sambil menyatakan bahawa kerjasama antara sektor awam dan swasta amat penting bagi menjayakan kempen Visit Sabah 2027 yang dirancang.
“Kualiti perkhidmatan kekal sebagai faktor penentu bagi pelancong dan penganjur acara perniagaan – ia bukan semata-mata mengenai produk,” katanya.
Data pelancongan menunjukan momentum yang kukuh menjelang TTM2026.
Malaysia merekodkan 16.94 juta ketibaan antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Mei 2025 iaitu meningkat 20 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya dengan Singapura, Indonesia, China, Thailand dan India sebagai pasaran utama.
Bagi Sabah tempoh Januari hingga September 2025 menyaksikan 2.83 juta ketibaan, meningkat 17 peratus tahun ke tahun sekali gus mencapai 91 peratus daripada paras pra-pandemik dan 80.8 peratus daripada sasaran tahunan 3.5 juta.
Ketibaan domestik meningkat 16.8 peratus kepada 1.66 juta manakala ketibaan antarabangsa pulih sepenuhnya ke paras pra-pandemik pada 1.16 juta meningkat 17.2 peratus.
Hasil pelancongan pula dianggarkan berjumlah RM6.58 bilion, meningkat 17 peratus berbanding 2024.