SOOK: Sebanyak 12 lokasi di seluruh Sabah dipilih bagi pelaksanaan Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS) sepanjang tahun ini, yang bertujuan mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat, khususnya penduduk luar bandar dan pedalaman.
Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Perbendaharaan Malaysia Sabah, Norali Awang Damit berkata, Kampung Sinua, Sook, yang terletak lebih 300 kilometer dari Kota Kinabalu, dipilih sebagai lokasi pertama program itu awal tahun ini.
Menurutnya, inisiatif MCS selaras dengan hasrat kerajaan untuk memudahkan rakyat mendapatkan akses terus kepada perkhidmatan agensi kerajaan tanpa perlu menempuh perjalanan jauh.
“Program ini diwujudkan untuk mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada komuniti, khususnya di pedalaman Sabah yang berdepan kekangan aksesibiliti bagi mendapatkan perkhidmatan agensi kerajaan Persekutuan, Negeri mahupun badan berkanun,” katanya kepada pemberita sempena pelaksanaan Program MCS di Kampung Sinua, di sini.
Jelas Norali, program berkenaan melibatkan penyertaan lebih 45 agensi kerajaan Persekutuan dan Negeri, sekali gus membolehkan masyarakat setempat mengakses pelbagai perkhidmatan penting di satu lokasi.
Antara pengisian program termasuk taklimat agensi, pameran perkhidmatan serta aktiviti kemasyarakatan yang melibatkan semua lapisan umur, sekali gus memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat di peringkat akar umbi.
Seorang penduduk Kampung Sinua, Makunsil Dungoh, menyambut baik penganjuran program tersebut dan berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang.
Seorang lagi penduduk, Safrina Aling dari Kampung Seselungon, berkata program itu amat membantu, terutama dalam memberi pendedahan berkaitan bantuan kerajaan seperti Skim MySalam, yang sebelum ini kurang difahami oleh penduduk luar bandar.
“Melalui penerangan secara terus daripada pegawai agensi, kami lebih jelas tentang kelayakan dan cara mendapatkan bantuan yang disediakan,” katanya.