Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner diberitahu bahawa Unit Disiplin SMKA Tun Datu Mustapha tidak memaklumkan pengetua Shaharoom Hashim mengenai kenyataan bertulis pelajar yang direkodkan semasa siasatan dalaman berkaitan insiden melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Shaharoom memberitahu Koroner Amir Shah Amir Hassan bahawa unit berkenaan hanya memaklumkan beliau secara lisan mengenai laporan bertarikh 16 Julai 2025 pada 17 Julai.
Bagaimanapun Unit Disiplin tidak memberitahu beliau mengenai kenyataan bertulis pelajar yang diperoleh semasa siasatan dijalankan di musollah.
Beliau menjawab soalan daripada Pegawai Pendakwa, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari pada hari Rabu semasa prosiding sambungan inkues untuk mengetahui punca kematian Zara.
Shaharoom menjelaskan bahawa beliau hanya dimaklumkan secara lisan bahawa pelajar memberikan kenyataan pada 16 Julai namun kenyataan bertulis pelajar tidak pernah ditunjukan kepadanya.
“Saya tidak diberitahu secara bertulis oleh Unit Disiplin mengenai apa yang diambil daripada pelajar. Saya hanya menerima laporan secara lisan,” kata Shaharoom.
Beliau menambah bahawa maklumat mengenai kenyataan bertulis pelajar B, C, D, E dan seorang pelajar lain pada 16 Julai 2025 hanya diperoleh melalui Ustaz Azharie dan bukanya daripada Unit Disiplin.
Apabila ditanya mengapa Unit Disiplin tidak memaklumkan beliau sebagai pengetua mengenai kenyataan penting itu Shaharoom berkata beliau ketika itu berada di hospital dan unit berkenaan berkomunikasi terus dengan Ustaz Azharie yang sering dihubungi polis sekiranya mereka memerlukan maklumat mengenai sekolah.
Beliau juga menegaskan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (Hem) tidak memaklumkan bahawa kenyataan bertulis pelajar telah diambil. Beliau hanya dimaklumkan mengenai siasatan yang dijalankan di musollah dan sesi temu bual dengan pelajar.
Bagi 17 Julai 2025 Shaharoom memberitahu koroner bahawa beliau hanya mengetahui Unit Disiplin telah menemu bual pelajar Tingkatan 1 dan Ketua Dorm. Beliau dimaklumkan secara lisan bahawa Ketua Dorm telah bertemu Zara pada malam 15 Julai mengenai barang yang dicuri.