Kota Kinabalu: Ketua warden SMKA Tun Datu Mustapha mengakui bahawa ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir sepatutnya mengetahui apa yang berlaku pada malam sebelum pelajar itu ditemui tidak sedarkan diri di kawasan asrama sekolah.
Ustaz Azhari Abd Sagap menyatakan perkara itu ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri yang mempersoalkan sama ada ibu Zara wajar diberikan maklumat mengenai kejadian tersebut.
Shahlan berkata sebagai seorang guru dan juga ibu bapa Azhari seharusnya memahami bahawa ibu Zara mempunyai hak untuk mengetahui sekurang-kurangnya apa yang berlaku. Azhari bersetuju dan mengakui bahawa ibu Zara memang sepatutnya tahu.
Shahlan kemudian bertanya mengapa tidak satu pun maklumat walaupun sedikit dimaklumkan kepada ibu Zara. Menjawab soalan itu Azhari berkata bahawa pada 16 Julai beliau masih tidak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Pada 17 Julai beliau memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis dan ibu Zara kemudianya membuat laporan polis.
“Ibu Zara boleh mendapatkan maklumat daripada pihak polis,” katanya.
Bagaimanapun apabila ditanya semula sama ada sebarang maklumat berkaitan kejadian malam itu telah disampaikan kepada ibu Zara, Azhari mengakui bahawa beliau tidak memaklumkanya.
“Berhubung kejadian malam itu saya tidak beritahu,” katanya.
Azhari turut memberitahu koroner bahawa selepas pengebumian Zara, guru-guru telah dipanggil oleh pihak polis untuk siasatan kecuali dirinya dan seorang pelajar lain.
Menurutnya sepanjang komunikasi beliau dengan Inspektor Wong beliau tidak pernah menerima sebarang arahan supaya tidak mendedahkan atau memaklumkan kepada umum mengenai insiden melibatkan Zara.
Mengulas mengenai kritikan yang diterimanya Azhari berkata beliau sering berasa terganggu setiap kali terjaga pada jam 3 pagi sama ada sebelum atau selepas menerima kecaman tersebut.
Beliau juga memaklumkan bahawa beliau terpaksa menghadiri temu janji di hospital kerana tekanan akibat kritikan yang diterima walaupun telah membantu pihak polis sedaya upaya.
Azhari menambah bahawa antara kritikan yang diterimanya termasuk tuduhan bahawa beliau cuba menutup kes berkenaan serta dakwaan kononya beliau mempunyai skandal dengan seorang pelajar yang dipertahankanya.
Apabila Shahlan bertanya sama ada tekanan yang dialami Zara berkaitan kes kecurian adalah sama seperti tekanan yang dialami olehnya Azhari menjawab bahawa pada malam kejadian Zara hanya ditanya sama ada dia ada mencuri apa-apa.
Menurut Azhari, Zara tidak mengaku melakukan kecurian dan tiada sebarang kekerasan berlaku.