Kota Kinabalu: Sarawak telah mula meletakkan asas ke arah Grid Kuasa Asean dengan menjadikan Borneo sebagai hab teras, selaras dengan cadangan rangka kerja pelbagai hala yang mencontohi sistem interkoneksi tenaga Kesatuan Eropah (EU).
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, inisiatif itu telah “mula digerakkan” dan diketengahkan pada sidang kemuncak tenaga baru-baru ini di Putrajaya, dengan penekanan kepada pembentukan kerangka pelbagai hala melibatkan 11 negara anggota Asean.
“Inisiatif ini bertujuan menghubungkan kesemua 11 negara anggota Asean melalui satu rangka kerja pelbagai hala, seumpama sistem grid kuasa EU yang turut merangkumi sambungan kabel dasar laut hingga ke negara-negara Nordic,” katanya selepas Majlis Perasmian Projek Penyambungan Grid Kuasa Sarawak–Sabah, di sini.
Menurut beliau, ketika ini tiada rangka kerja kerjasama pelbagai hala yang menyeluruh dalam kalangan negara Asean bagi interkoneksi tenaga. Sehubungan itu, model kerjasama EU wajar dijadikan rujukan tanpa perlu “mencipta semula” pendekatan baharu.
Abang Johari berkata, kemajuan ketara telah dicapai menerusi interkoneksi Sarawak–Sabah yang menjadi asas kepada pembentukan Grid Borneo. Sarawak, katanya, telah pun dihubungkan dengan Kalimantan dan bersetuju membekalkan tenaga kepada Brunei, selain perjanjian bekalan ke Singapura dan Filipina Selatan.
Beliau turut memaklumkan Sarawak sedang membangunkan kapasiti penjanaan 500 megawatt (MW) di Miri dan 1,000 MW di Bintulu, yang akan meningkatkan kapasiti terpasang negeri itu kepada 10 gigawatt menjelang 2030, sekali gus menyediakan asas kukuh bagi perkongsian tenaga serantau.
Rangkaian berteras Borneo itu, katanya, akan melengkapi satu lagi gelung kuasa Asean yang menghubungkan Laos melalui Terengganu ke Singapura.
Bagaimanapun, beliau mengakui kebanyakan pengaturan sedia ada masih bersifat dua hala dan memerlukan peralihan kepada kerangka pelbagai hala, termasuk penyelarasan perundangan dan pertimbangan nasional negara anggota.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Tenaga Asean (ACE) Datuk Razib Dawood menyifatkan pengoperasian interkoneksi Sabah–Sarawak sebagai mercu tanda penting ke arah merealisasikan Grid Kuasa Asean yang telah dibincangkan lebih tiga dekad.
“Walaupun projek ini melibatkan dua negeri, ia berpotensi berkembang ke Brunei, Palawan, Mindanao, Singapura, Semenanjung Malaysia dan seterusnya,” kata Razib, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga.
“Projek ini menunjukkan bahawa jika ada melakukan integrasi anda akan mengukuhkan keselamatan tenaga serantau,” tambahnya.
Interkoneksi yang beroperasi sejak 13 Disember lalu kini membekalkan 50 MW dari Sarawak ke Sabah, meningkatkan kestabilan grid Sabah dan margin rizab daripada sekitar empat hingga lima peratus kepada 14 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata tambahan kapasiti itu mengukuhkan keselamatan tenaga negeri, dengan unjuran margin rizab mencecah 22 peratus dalam tempoh dua tahun melalui peningkatan import.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad Datuk Sharbini Suhaili pula berkata Grid Borneo akan membolehkan perkongsian sumber tenaga boleh diperbaharui Sarawak, menyokong peralihan ekonomi rendah karbon di rantau ini.