KOTA BELUD: Seramai 14 penghuni terdiri empat keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Pinolobu di sini, pada Sabtu.
Bagaimanapun, dalam kebakaran yang dilaporkan berlaku kira-kira jam 11 pagi itu, tiada penghuni dilaporkan cedera atau mengalami kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.14 pagi.
Katanya, seramai tujuh anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian sejauh dua kilometer dengan satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah rumah jenis separuh kekal musnah 100 peratus akibat kebakaran.
“Api merebak dengan cepat namun 14 penghuni yang juga termasuk tujuh kanak-kanak dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Manakala harta benda dan sebahagian dokumen milik penghuni juga tidak sempat diselamatkan,” katanya.
Menurut Elge, operasi memadam kebakaran berjaya dikawal pada 12.35 tengah hari sebelum merebak ke rumah penduduk lain yang berhampiran.
“Operasi ditamatkan pada jam 2 petang manakala punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.