Kota Kinabalu: Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad bukan sahaja meraikan seni dan warisan kebudayaan masyarakat Tionghoa tetapi menjadi simbol perpaduan, keamanan dan kemakmuran rakyat berbilang kaum di negeri ini.
Majlis yang berlangsung meriah itu mendapat sambutan menggalakan dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung dari pelbagai latar belakang masyarakat.
Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kiulu Datuk George Teo berkata penganjuran pesta berkenaan wajar dilihat sebagai platform penting untuk menyatukan rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan fahaman politik.
“Perbezaan politik biarlah berakhir di peti undi. Selepas itu kita mesti bersatu hati dan bekerjasama demi masa depan serta kesejahteraan Sabah.
“Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) berlalu seluruh rakyat Sabah perlu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan serta bekerjasama bagi memastikan kemakmuran dan kestabilan negeri terus terpelihara,” katanya ketika berucap pada Festival Tarian Naga, Singa dan Unicorn Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
George berkata tiga elemen utama iaitu naga, singa dan unicorn bukan sekadar persembahan kebudayaan sebaliknya melambangkan kekuatan, keharmonian serta kesejahteraan masyarakat.
Dalam pada itu menyatakan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sepanjang lima tahun lalu telah membuktikan keupayaan kerajaan negeri dalam memacu pembangunan ekonomi Sabah secara mampan.
Menurutnya di bawah pentadbiran Hajiji pendapatan negeri berjaya meningkat kepada hampir RM7 bilion manakala rizab simpanan kerajaan negeri mencecah lebih RM8.4 bilion sekali gus mencerminkan kestabilan fiskal serta pengurusan kewangan yang berhemah.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri atas peruntukan sebanyak RM90 juta kepada badan-badan keagamaan bukan Islam serta sekolah persendirian bagi tahun 2026 yang disifatkan sebagai peruntukan terbesar pernah disalurkan sejak Sabah mencapai kemerdekaan.
“Langkah tersebut membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menyokong pembangunan pendidikan, institusi keagamaan serta keharmonian sosial dalam masyarakat majmuk di negeri ini.
“Peruntukan ini jelas menunjukan kesungguhan kerajaan negeri untuk memastikan semua lapisan masyarakat mendapat perhatian yang adil dan saksama,” katanya.
Majlis itu turut diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, penyertaan pasukan tarian naga, singa dan unicorn dari seluruh daerah sekali gus mencerminkan keunikan budaya serta semangat perpaduan masyarakat Sabah.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Parlimen Kota Kinabalu Datuk Chan Foong Hin dan Datuk Susan Wong selaku pengerusi penganjur.