SANDAKAN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Papat Datuk Frankie Poon menggesa Kerajaan Negeri supaya memberi perhatian segera terhadap masalah kesesakan serta kelemahan operasi yang semakin meruncing di Pelabuhan Sandakan.
Poon berkata beliau mengambil maklum pengumuman terbaharu Timbalan Ketua Menteri Datuk Ewon Benedict mengenai langkah interim bagi menangani kesesakan di Pelabuhan Sepanggar namun menegaskan bahawa Pelabuhan Sandakan tidak wajar dipinggirkan.
Menurutnya Pelabuhan Sandakan sejak kebelakangan ini berdepan masalah operasi yang serius sehingga menyebabkan kelewatan panjang dalam proses memunggah kontena sekali gus isu yang menjadi lebih mendesak dengan ketibaan musim puncak perdagangan sempena Tahun Baharu Cina.
“Kelewatan ini telah meningkatkan kos logistik dan penyimpanan, mengganggu rantaian bekalan, membebankan peniaga serta pengguna dan seterusnya melemahkan lagi aktiviti ekonomi tempatan.
“Jika tidak ditangani keadaan ini boleh menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup, menjejaskan keyakinan perniagaan dan melambatkan proses pemulihan ekonomi Sandakan,” katanya sambil memberi amaran bahawa kelewatan berterusan boleh menjejaskan pemulihan ekonomi daerah terbabit.
Berikutan itu Poon menggesa Kerajaan Negeri supaya segera memperuntukan masa, sumber dan tumpuan dasar bagi menyelesaikan ketidakcekapan operasi di pelabuhan berkenaan termasuk menambah baik pengurusan dan penyelarasan, menaik taraf infrastruktur serta peralatan, memperkukuh tenaga kerja dan memastikan jadual berlabuh serta pemunggahan yang cekap.
“Kegagalan bertindak secara tegas berisiko mewujudkan persepsi bahawa masalah ini bersifat struktur dan sistemik sekali gus menyekat pertumbuhan ekonomi Sandakan daripada disokong,” tambahnya.
Menekankan peranan Sandakan sebagai antara tonggak ekonomi penting negeri dalam sektor perdagangan, perikanan, pembuatan, pelancongan dan perdagangan rentas sempadan Poon berkata sejak 2020 daerah itu dilihat semakin terpinggir daripada aspek naik taraf infrastruktur, perancangan logistik dan tumpuan strategik ekonomi.
“Usaha pembangunan tidak seharusnya tertumpu hanya di Kota Kinabalu atau pantai barat.
“Pembangunan wilayah yang seimbang memerlukan keperluan Sandakan ditangani dengan tahap keutamaan dan kesungguhan yang sama,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa pelabuhan yang cekap merupakan keperluan asas ekonomi bukanya satu kemewahan dan menyeru tindakan pantas serta telus dengan penglibatan semua pihak berkepentingan termasuk penyediaan pelan tindakan yang jelas bagi meningkatkan keupayaan Pelabuhan Sandakan demi kepentingan Sandakan, Sabah dan ekonomi negeri secara keseluruhan.