Kota Kinabalu: Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner bahawa pada pertengahan Mei 2025 Allahyarham Zara Qairina Mahathir pernah diejek dengan perkataan “getek” oleh pelajar senior ketika melalui sebuah bilik darjah akademik pelajar senior.
Peguam Rizwandean M Borhan yang memberi taklimat kepada media pada Isnin berkata saksi ke-59 menceritakan satu kejadian ketika dia dan Zara melalui bilik darjah akademik berkenaan di mana pelajar senior mengejek Zara dengan perkataan “getek” yang membawa maksud menggoda.
“Insiden itu berlaku apabila saksi meminta Zara menemaninya ke blok akademik di tingkat atas yang memerlukan mereka melalui kelas pelajar senior.
“Menurut saksi Zara pada mulanya takut untuk mengikutinya namun akhirnya bersetuju. Ketika mereka melalui kelas tersebut pelajar senior didengar menyebut ‘getek’ dan Zara memberitahu saksi bahawa itulah sebab dia takut untuk naik ke tingkat atas,” katanya.
Rizwandean berkata Zara turut memaklumkan kepada saksi bahawa dia pernah dituduh secara palsu oleh pelajar senior atas perkara yang tidak pernah dilakukanya.
Beliau menambah saksi ke-59 berkata dia meminta Zara menemaninya kerana dia sendiri pernah dituduh secara palsu menyebabkan beberapa rakan menjauhkan diri daripadanya.
Menurut Rizwandean lagi saksi ke-59 dan saksi ke-69 turut memberi keterangan bahawa Zara pernah dimarahi dan diherdik oleh pelajar senior ketika disoal siasat berhubung satu dakwaan kecurian.
“Kedua-dua saksi yang merupakan saksi mata memberitahu bahawa pelajar senior menggunakan perkataan ‘bodoh’ dan ‘sial’ ketika memarahi Zara.
“Mereka berkata Zara dimarahi dengan sangat kuat sehingga jeritan itu boleh didengar dari tingkat bawah,” katanya.
Kedua-dua saksi juga memberitahu bahawa mereka berasa takut dan trauma akibat kejadian tersebut dan sejak itu telah berpindah ke sekolah lain.
“Mereka turut menyatakan bahawa ketika Zara disoal oleh pelajar senior mereka diarahkan untuk berdiam diri menyebabkan mereka berasa sangat takut,” katanya.
Rizwandean berkata saksi ke-59 turut memberi keterangan bahawa ketika pelajar senior memasuki bilik asrama untuk menyoal Zara seorang daripada mereka didakwa membaling pin bendera Malaysia ke arah Zara.
“Pelajar itu membaling pin berkenaan memarahi Zara dan menyoalnya sama ada dia mengambil dompet milik seorang rakan.
“Zara menafikan tuduhan tersebut dan bersumpah bahawa dia tidak mengambil dompet itu,” katanya.
Sementara itu saksi ke-60 yang memberi keterangan bahawa lima pelajar senior memarahi Zara menyifatkan mangsa sebagai seorang yang baik hati dan suka menolong.
“Saksi berkata Zara sering membantu orang lain termasuk menambah nilai wang kepada rakan-rakan yang tidak mencukupi.
“Malah saksi sendiri pernah dibantu oleh Zara di kantin apabila tidak mempunyai wang yang mencukupi. Zara menambah wang untuknya dan berkata ‘Tak apa, tak perlu bayar balik,’” katanya.
Saksi itu juga memberitahu bahawa Zara seorang yang sopan dan menghormati pelajar senior serta sering menundukan kepala sebagai tanda hormat setiap kali bertemu mereka kata Rizwandean.
Perbicaraan bersambung pada Selasa dengan keterangan seorang lagi saksi kanak-kanak yang dipanggil semula.