TAWAU: Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy mezahirkan rasa kecewa terhadap pembatalan projek pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Perdana Tawau seperti dimaklumkan kepadanya baru-baru ini.
Menurutnya Timbalan Menteri serta Menteri lll sebelum ini pernah turun padang melawat tapak cadangan pembinaan sekolah itu dan statusnya dimaklumkan bahawa projek sepatutnya ditender pada November tahun lalu.
“Sebagai Ahli Parlimen saya amat kecewa dengan pembatalan ini kerana jumlah murid di daerah ini semakin meningkat.
“Manakala dasar Kementerian Pendidikan (KPM) juga mengumumkan kanak-kanak seawal usia enam tahun akan memasuki tahun satu bermula tahun hadapan.
“Dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang bilangan murid dijangka bertambah dengan ketara.
“Pembatalan pembinaan sekolah baharu ini dilihat bakal menjejaskan keselesaan dan kualiti pembelajaran murid memandangkan terdapat sekolah yang mencatatkan lebih 40 murid dalam satu kelas,” katanya.
Tambahnya pembinaan sesebuah sekolah memerlukan masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan justeru kelewatan atau pembatalan projek akan memberi kesan jangka panjang kepada sistem pendidikan di daerah Tawau dan Kalabakan.
Sehubungan itu katanya beliau akan mengemukakan semula permohonan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah bagi menilai keperluan mendesak untuk menambah sekolah rendah di kawasan Kalabakan dan Tawau.
Andi turut menyuarakan kebimbangan berkenaan graf pertumbuhan penduduk yang luar biasa di Tawau.
Menurutnya jika tidak diimbangi dengan penambahan sekolah dan bilik darjah ia bakal menjejaskan prestasi akademik murid serta petunjuk prestasi utama (KPI) PPD Tawau yang ketika ini merekodkan antara keputusan terbaik di Sabah dalam SPM.
“Prestasi cemerlang ini dibina dari peringkat sekolah rendah hingga menengah. Jika isu kemudahan sekolah tidak ditangani sejak awal saya bimbang ini akan memberi kesan besar kepada masa depan pendidikan anak-anak kita,”katanya.
Berhubung isu buku teks koyak yang dibangkitkanya menerusi akaun media sosialnya baru-baru ini Andi menyatakan isu tersebut adalah masalah serius yang perlu ditangani segera oleh KPM.
“Perkara itu memberi kesan langsung kepada ibu bapa dan murid khususnya keluarga berpendapatan rendah kerana tidak semua ibu bapa mampu membeli buku teks baharu sekiranya buku yang diterima rosak.
“KPM perlu mempunyai perancangan yang lebih tersusun bagi menangani isu ini kerana walaupun terdapat Bantuan Awal Persekolahan dan bantuan lain isu buku teks koyak ini sebenarnya masalah yang boleh diselesaikan,” tegasnya.