KOTA BELUD: Polis mengeluarkan 28 saman sempena operasi hujung minggu yang menyasarkan golongan belia yang melepak dan terlibat dalam aktiviti menyalahi undang-undang.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Supt Shahruddin Mat Husain berkata aktiviti berkenaan termasuk lumba haram dan penggunaan ekzos bising di sepanjang Jalan Pan Borneo di Kuala Abai dan Batu Gadung.
“Lokasi berkenaan telah menjadi tempat berkumpul yang mengganggu ketenteraman penduduk sekitar, sekali gus mencetuskan aduan orang awam,” katanya.
Susulan laporan diterima, seramai 11 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, termasuk Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, menjalankan Operasi Bersepadu dari Sabtu hingga Ahad.
“Sebanyak 28 saman dikeluarkan pada mereka yang terdiri usia 18 hingga 25 tahun atas pelbagai kesalahan termasuklah mengubah suai kenderaan serta tiada lesen memandu, nombor pendaftaran dan topi keledar,” katanya.
Menurutnya, seramai 43 individu dan 30 kenderaan diperiksa, dengan satu motosikal disita untuk membantu siasatan.
Beliau berkata operasi itu bertujuan membanteras kesalahan lalu lintas dan aktiviti menyalahi undang-undang lain yang berisiko membahayakan keselamatan serta mengganggu ketenteraman awam.