Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Anugerah Sukan Negeri Sabah di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Isnin.
Delegasi itu diketuai Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, yang menyampaikan jemputan rasmi serta memberi taklimat kepada Ketua Menteri mengenai majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2026.
Acara berprestij dwitahunan itu dijadualkan berlangsung pada 6 Februari di Magellan Sutera Resort di sini.
Nizam berkata sebanyak 16 kategori anugerah akan disampaikan pada majlis berkenaan bagi mengiktiraf kecemerlangan atlet Sabah yang mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk Anugerah Tokoh Sukan Negeri Sabah.
Sementara itu, Hajiji turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada atlet Sabah yang mewakili kontinjen Malaysia dan menyumbang keseluruhan 10 pingat emas, 15 perak dan 15 gangsa pada Sukan Para Asean (APG) ke-13 yang berlangsung di Nakhon Ratchasima, Thailand, dari 21 hingga 26 Januari.
Beliau berkata pencapaian itu membuktikan kemampuan atlet Sabah bersaing di pentas antarabangsa serta menjadi inspirasi kepada generasi muda dalam bidang sukan.
Pada temasya itu, atlet Sabah meraih lima pingat emas, tujuh perak dan tiga gangsa dalam olahraga; lima emas, lapan perak dan sembilan gangsa dalam renang; satu gangsa dalam powerlifting; dua gangsa dalam ping pong; serta satu perak dan satu gangsa masing-masing dalam acara lawn bowls (sukan demonstrasi).
Dua atlet dari Tuaran Abdul Halim Mohammad dan Ivan Jovic Suan, turut mencuri perhatian selepas masing-masing menyumbang lima dan tiga pingat emas menerusi acara renang dan olahraga.
Atlet para olahraga Sabah Wong Kar Gee memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh lelaki T12 dengan mencipta rekod baharu APG menerusi lompatan sejauh 6.83 meter.
Turut hadir pada kunjungan hormat itu ialah Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Seri Dr Anil Sandhu; Setiausaha Tetap kementerian Datuk Mansur Haji Asun; Pengerusi Lembaga Sukan Sabah Syed Ahmad Syed Abas; Pengarah Majlis Sukan Negeri Mohd Asneh Mohd Noor serta Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah Terrance Edward Pudin.