Kota Kinabalu: Seorang pemilik kedai di Ranau didenda keseluruhan RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen pada Selasa atas dua pertuduhan memiliki produk farmaseutikal tidak berdaftar dan kosmetik tidak dinotifikasikan kepada pihak berkuasa.
Salman Khan Raj Muhammad, 27, mengaku bersalah di hadapan Hakim Hurman Hussain terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.
Bagi pertuduhan pertama Salman didenda RM1,000 atau satu bulan penjara kerana memiliki enam jenis produk farmaseutikal tidak berdaftar di premis Gunung Maju Trading Sdn Bhd di pekan Kundasang, Ranau kira-kira jam 11.50 pagi pada 12 Jun 2024.
Antara produk yang dirampas ialah Freshcare Citrus (lima unit), Krim Herba Ubat Gatal (13 unit), Brilliant Rejuv Topical Cream (13 unit), Brilliant Rejuv Topical Solution (12 unit), Tincture of Benzalkonium Chloride 0.125 peratus (90 unit) dan Montalin (enam unit).
Kesalahan itu merupakan pelanggaran Peraturan 7(1)(a), Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 30(1) peraturan sama serta Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Akta berkenaan memperuntukkan denda sehingga RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.
Bagi pertuduhan kedua Salman didenda RM2,000 atau dua bulan penjara kerana memiliki 14 jenis kosmetik yang tidak dinotifikasikan kepada pihak berkuasa termasuk 701 Collagen Soap, Collagen Plus Vitamin E Day and Night Cream, 701 Collagen Whitening Facial Serum, produk kecantikan Yanko, Papaya Whitening Soap serta produk penjagaan kulit Extra Strength.
Kesalahan itu melanggar Peraturan 18A(1)(a), Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Peraturan 18A(15) serta Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Pegawai pendakwa farmaseutikal Muhammad Nurhalimi Ahmad Azmil memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dan berunsur pencegahan supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh serta amaran kepada pihak lain agar tidak melakukan kesalahan sama.
Menurut Nurhalimi siasatan oleh Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) mengesahkan enam produk yang dirampas adalah produk farmaseutikal tidak berdaftar manakala 14 lagi adalah kosmetik yang tidak dinotifikasikan.
Produk berkenaan tidak diuji atau dinilai oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah justeru kualiti, keselamatan dan keberkesanannya tidak dapat dipastikan serta berpotensi mendatangkan kesan sampingan berbahaya kepada orang awam.
Pendakwaan turut memaklumkan bahawa nilai keseluruhan barangan yang dirampas dianggarkan berjumlah RM5,305.
Terdahulu Nurhalimi memaklumkan mahkamah bahawa pemeriksaan dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Sabah di premis berkenaan dengan kehadiran seorang pembantu kedai.
Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan 17 jenis produk yang disyaki tidak berdaftar dan tidak dinotifikasikan sebelum semuanya dirampas dan disenaraikan dalam inventori.
Semakan lanjut dengan Pejabat Daerah Ranau mengesahkan Salman Khan Raj Muhammad adalah pemilik berdaftar perniagaan tersebut dan bertanggungjawab terhadap produk yang ditemukan di premis berkenaan.