Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun pada Khamis menerima kunjungan hormat daripada Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) di pejabatnya.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Ketua Pegawai Penyelaras SMJ, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai JP, bersama Ketua Pegawai Operasi, Datuk Ramlee Kariah, bertujuan membincangkan penyelarasan pelaksanaan inisiatif di bawah agenda Hala Tuju SMJ 2.0 (2026–2030), khususnya berkaitan perancangan strategik dan hala tuju pembangunan negeri.
Dalam pertemuan itu, Masidi turut diberi taklimat mengenai perkembangan pelaksanaan program SMJ 2.0 yang dijadualkan berlangsung hari ini (Jumaat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Perbincangan turut merangkumi usaha mempertingkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Pada masa sama, beliau menasihatkan Sekretariat SMJ agar terus mengamalkan tadbir urus yang baik, memperkukuh penyelarasan antara agensi pelaksana serta memastikan setiap inisiatif yang dirangka berlandaskan keperluan rakyat dan memberi impak yang jelas serta berterusan.
Beliau turut menyentuh bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) haruslah memainkan peranan yang lebih proaktif dan berintegriti, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya, serta memberi tumpuan kepada tadbir urus yang baik, kecekapan pengurusan dan pulangan yang memberi manfaat kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menegaskan kepentingan pemantauan yang rapi dan penilaian berterusan bagi memastikan semua program dilaksanakan mengikut perancangan serta mencapai sasaran yang ditetapkan, sejajar dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.