RANAU: Projek naik taraf Jalan Perancangan–Takutan–Nalumad, Ranau akan melalui proses tender terbuka pra-kelayakan pada Mac ini, kata Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin
(gambar).
Beliau berkata skop projek yang diluluskan pada 2024 dengan kos RM103.4 juta itu melibatkan kerja naik taraf sepanjang 7.7 kilometer mengikut spesifikasi JKR R2 serta pembinaan sebuah jambatan.
Menurutnya, agensi pelaksana projek berkenaan ialah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah berdasarkan kaedah reka dan bina.
Apabila siap kelak, Jonathan berkata projek itu akan memberi manfaat kepada empat kampung iaitu Kampung Perancangan, Togis, Takutan dan Nalumad, melibatkan kira-kira 1,200 penduduk.
“Projek ini telah melalui sesi Makmal Pengurusan Nilai (Value Management, VM) dan akan melalui proses tender terbuka pra-kelayakan (reka dan bina) pada Mac,” katanya, sambil memaklumkan bahawa beliau menerima maklumat berhubung projek itu di Dewan Rakyat.
Jonathan sebelum ini meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah menyatakan langkah segera yang akan diambil bagi menaik taraf Jalan Perancangan–Takutan–Nalumad–Dantayon.
Beliau berkata pelaksanaan projek itu akan memberi kelegaan kepada ramai penduduk kampung.