Kota Kinabalu: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik Kerajaan Sabah digesa mengambil peluang latihan dan kursus disediakan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp).
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk James Ratib berkata langkah berkenaan perlu bagi meningkatkan produktiviti, modal insan serta mutu perkhidmatan warga kerja semua GLC.
Menurutnya penganjuran konvensyen dan kursus secara berkala bukan sahaja memberi pendedahan baharu kepada kakitangan GLC malah berupaya memantapkan kecekapan pengurusan serta perkhidmatan organisasi secara menyeluruh.
“Setakat ini terdapat 74 GLC di Sabah telah berdaftar dengan HRD Corp namun jumlah sebenar GLC ini dianggarkan jauh lebih besar termasuk yang masih belum memanfaatkan kemudahan latihan berkenaan.
“Ia sejajar dengan inisiatif dan transformasi oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang mahu semua GLC di negeri ini memberikan laporan prestasi setiap tiga bulan bagi memantau kemajuan setiap syarikat.
“Semua GLC atau majikan yang berdaftar dengan HRD Corp akan menanggung sepenuhnya pembayaran levi bulanan pekerja satu peratus pendapatan pekerja kepada HRD Corp bagi tujuan latihan dan pembangunan sumber manusia.
“Amat rugi tidak memanfaatkan latihan disediakan HRD Corp setelah membayar levi pekerja sedangkan manfaat daripadanya amat besar khususnya untuk pulangan positif kepada Sabah serta rakyat.
“Justeru semua GLC harus ubah mentaliti dan pastikan warga kerja mereka mengambil peluang ini sebagai sebahagian daripada usaha transformasi GLC di Sabah selari dengan agenda pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pembukaan Konvensyen Transformasi GLC Sabah Tahun 2026 selama sehari di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Rabu.
James turut menggesa syarikat-syarikat swasta khususnya sektor perkhidmatan seperti restoran, peruncitan dan industri berkaitan supaya turut memanfaatkan skim latihan HRD Corp.
Katanya masih terdapat kekurangan dari segi profesionalisme dan etika perkhidmatan pelanggan serta disiplin dalam kalangan pekerja khususnya restoran makanan.
“Kalau kita tengok terutama sekali restoran-restoran ini yang kurang beri pendedahan kepada staf mereka dari segi perkhidmatan kepada pelanggan.
“Kadangkala pekerja ini sudah lap (bersihkan) meja sedangkan kita masih lagi makan. Justeru majikan perlu mendedahkan pekerja mereka amalan terbaik dan profesional dalam perkhidmatan pelanggan menerusi latihan disediakan HRD Corp,” jelasnya.