Fri, 3 Apr 2026
Headlines:
SMJ 2.0: Pacu pertumbuhan, kesejahteraan
Published on: Saturday, January 31, 2026
Published on: Sat, Jan 31, 2026
By: Larry Ralon, Esther Glorie Leow
Text Size:
Text:
SMJ 2.0:  Pacu pertumbuhan, kesejahteraan
HAJIJI meneliti buku Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ 2.0 selepas melancarkannya.
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri secara rasmi melancarkan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026–2030, dengan sasaran merangsang lonjakan ketara dalam daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelan hala tuju SMJ 2.0 merupakan kesinambungan dan lanjutan SMJ 1.0, yang memfokuskan pemulihan, penstabilan dan penstrukturan semula susulan pandemik serta Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Advertisement
“SMJ 2.0 bukan sekadar pelan pembangunan. Ia mencerminkan komitmen Kerajaan untuk menerajui perubahan dalam dunia yang pantas didorong oleh Kecerdasan Buatan (AI), ekonomi digital, perdagangan rentas sempadan dan persaingan global.

“SMJ 2.0 dirangka menerusi libat urus menyeluruh bersama Jemaah Menteri Negeri, kementerian, pemain industri, belia serta rakyat daripada pelbagai lapisan,” katanya ketika melancarkan SMJ 2.0 pada Majlis Ucaptama Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Jumaat.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Hajiji berkata Belanjawan Negeri 2026 memperuntukkan RM12.02 bilion bagi membiayai 1,173 program dan projek pembangunan — tertinggi dalam sejarah Sabah. Peruntukan itu selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta aspirasi Malaysia Madani.

Advertisement
Pelan berkenaan turut disusun selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan pertumbuhan mampan dan kesejahteraan sosial.

Menurut Ketua Menteri, SMJ 2.0 mendukung komitmen dan manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk PRN17 yang berteraskan empat tonggak utama: Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.

Advertisement
Lima objektif teras pelan ini ialah membina masyarakat bersatu dan aman; mengoptimumkan hasil negeri; mempelbagaikan ekonomi; memperkasa ekonomi rakyat; serta membangunkan modal insan.

Pelan hala tuju ini dipacu oleh tiga teras utama: Sektor Pertumbuhan Ekonomi dengan Fokus kepada Industri, Pelancongan dan Pertanian; Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat merangkumi pendidikan, TVET, STEM serta latihan digital dan pertanian; serta Kesalinghubungan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau yang meliputi infrastruktur asas, tenaga mampan dan alam sekitar.

Ketua Menteri berkata teras-teras tersebut disokong oleh penekanan terhadap Ekonomi Biru, Pendigitalan AI dan Pembangunan Inklusif, yang diperkasakan oleh lima pemudah utama iaitu kemampanan fiskal, kemudahan kewangan, keberkesanan perkhidmatan, integriti dalam tadbir urus dan kerajaan digital.

Dalam sektor perindustrian, Hajiji berkata Sabah telah menarik pelaburan bernilai puluhan bilion ringgit, termasuk projek RM31 bilion Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip) yang dijangka mewujudkan 10,000 pekerjaan berkemahiran tinggi serta mengukuhkan rantaian bekalan industri keluli di negeri ini.

Selain itu, katanya, Kerajaan akan mempercepat pembangunan dan penaiktarafan taman perindustrian strategik di KKIP, Sogip dan POIC Lahad Datu. Pelan Induk Perindustrian Kudat bagi Ekonomi Biru juga sedang dirangka, manakala dua taman baharu di Kota Belud–Kota Marudu dan Beaufort–Kimanis dirancang bagi memperluas peluang pembangunan wilayah.

Ketua Menteri menambah, Inisiatif SME-UP menyasarkan 600 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), termasuk pembangunan sistem data pembuatan dan Program “Sabah Ready to Eat” (RTE) bagi meluaskan capaian pasaran produk tempatan.

Dalam sektor pelancongan, beliau memaklumkan pemulihan yang sangat menggalakkan dengan hampir 10 juta pelancong direkodkan sepanjang lima tahun lalu. 

Seiring Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Sabah 2027, Kerajaan memberi tumpuan kepada pelancongan berkualiti tinggi, produk premium, acara antarabangsa dan piawaian perkhidmatan global, termasuk Standard Pelancongan Asean menjelang 2030.

Pemeliharaan warisan, budaya dan alam sekitar kekal sebagai keutamaan menerusi pembangunan Pusat Kebudayaan Kinarut, Majlis Seni Negeri Sabah, tapak Warisan Dunia Unesco dan Taman Teluk Darvel, disokong peruntukan RM444.69 juta di bawah RMK13.

Hajiji berkata sektor pertanian kekal sebagai teras strategik SMJ 2.0 merangkumi tanaman, ternakan dan perikanan, dengan peruntukan RM580.45 juta di bawah RMK13.

“Sasaran Tahap Sara Diri (SSL) beras ditetapkan meningkat daripada 30 peratus kepada 60 peratus menjelang 2030 menerusi Program Revolusi Padi di enam daerah, penyediaan jentera moden bernilai RM15 juta serta pembangunan Pusat Bioteknologi Pertanian Sabah (SABTeC) di Tuaran,” katanya.

“Subsektor ternakan menyasarkan SSL 25 peratus bagi ruminan menjelang 2030 menerusi Program Pertanian Kontrak, manakala sektor perikanan akan dipacu oleh Ekonomi Biru Sabah dengan fokus kepada peningkatan pendaratan ikan, pembangunan pelabuhan dan pertumbuhan rantaian bekalan hiliran,” tegasnya.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here