RATU Rock Ella menyifatkan konsert berskala stadiumnya, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella, yang bakal menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Februari depan, membawa makna yang jauh lebih mendalam daripada sekadar sebuah persembahan pentas.
“Ini adalah perjalanan emosi dan penghargaan buat peminat yang telah bersama saya sejak awal kerjaya.
“Kami kini sedang mengukuhkan kandungan konsert selain menjalani latihan intensif dari segi fizikal, vokal serta mental kerana ini merupakan persembahan solo terbesar sepanjang karier saya,” katanya ketika sesi jamuan tengah hari bersama media di Kuala Lumpur, Khamis.

Diadakan khusus sebagai tanda penghargaan kepada rakan media yang menjadi saksi serta penyokong setia perjalanan seni beliau selama lebih tiga dekad, majlis jamuan tengah hari itu turut menjadi pembuka tirai kepada konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella.
Pelantun lagu Sembilu dan Baldu Biru itu turut menegaskan bahawa konsert berkenaan bertunjangkan misi kebajikan, selari dengan kepercayaannya bahawa muzik mampu menyatukan serta memberi impak bermakna.
“Anda bukan sekadar penonton, sebaliknya anda adalah sejarah itu sendiri!” katanya.
Pemilik nama lengkap Nor Zila Aminuddin itu turut mengumumkan barisan artis jemputan yang bakal memeriahkan konsert berkenaan, antaranya Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider serta kumpulan The Boys (Ella & The Boys), sebagai simbol penyatuan pelbagai generasi dan sekali gus penghormatan terhadap perjalanan karier seninya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Hitman Group Rohit Rampal berkata pentas konsert terbabit dibangunkan dengan penuh teliti dan berinspirasikan legasi Ella sebagai tanda penghormatan terhadap sumbangannya dalam industri muzik.
“Aspek audio, visual serta susunan kandungan persembahan dirancang secara menyeluruh bagi memberikan pengalaman bertaraf antarabangsa yang belum pernah disaksikan di Malaysia.
“Konsep pentas Separa Bulan atau Half Moon sepanjang 35 meter itu melambangkan Majlis Tertinggi Rockqueen sebagai simbol penyatuan peminat, sekali gus mencerminkan perjalanan sejarah yang dicipta bersama para penggemar muzik,” katanya.