Kota Kinabalu: Kerajaan mengulangi komitmennya terhadap agenda kebajikan sosial dengan mengiktiraf sukarelawan di bawah program Khidmat Bantu di Rumah (KBDR) menerusi program penghargaan dan pembinaan kapasiti selama dua hari yang bermula, di sini, Khamis.
Program anjuran Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS) itu menghimpunkan petugas dan sukarelawan KBDR dari seluruh negeri sebagai bagi mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan mereka dalam menyantuni golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata program KBDR bukan sekadar satu tugasan, ia juga satu pengorbanan murni yang melibatkan masa, tenaga dan keikhlasan demi membantu golongan memerlukan.
“Majlis ini adalah manifestasi penghargaan Kerajaan terhadap prestasi cemerlang sukarelawan sepanjang 2025. Sumbangan anda adalah nadi kepada kejayaan pelaksanaan perkhidmatan kebajikan di peringkat komuniti,” katanya.
Majlis penghargaan ini turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah khas, antaranya Anugerah Sukarelawan Cemerlang, Anugerah Sukarelawan Komitmen dan Kesetiaan serta Anugerah Penyelaras Sukarelawan Cemerlang sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi luar biasa sukarelawan.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Julita Majungki, yang merasmikan acara itu, menekankan kepentingan program KBDR sebagai inisiatif strategik dalam menghadapi cabaran negara menua menjelang 2030 di mana sistem sokongan sosial berasaskan komuniti menjadi semakin kritikal.
“Program KBDR bukan sahaja menyediakan bantuan fizikal, malah sokongan emosi, sosial dan psikologi kepada warga emas dan OKU. Inilah nilai sebenar kerja komuniti yang tidak dapat diukur dengan angka semata-mata,” katanya.
Beliau berkata pada 2025, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat telah meluluskan RM2.47 juta bagi pelaksanaan program KBDR di Sabah, melibatkan 252 petugas sukarelawan dan memberi manfaat kepada lebih 1,000 klien.
Turut disediakan, peruntukan tambahan bagi penganjuran majlis penghargaan dan program pembangunan kapasiti sukarelawan.
Program dua hari itu turut merangkumi Bengkel Pembangunan Kapasiti Sukarelawan KBDR bertemakan “Sukarelawan Berdaya, Komuniti Sejahtera”, yang memberi fokus kepada pemantapan ilmu, etika, kemahiran pengendalian klien serta pengurusan kes termasuk melibatkan klien yang menghidap penyakit demensia.