TAWAU: Sebuah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) baharu yang berkonsepkan kecerdasan buatan (AI) bakal dibina di atas tapak berkeluasan kira-kira 20 ekar di Taman Sawit Balung yang menggabungkan nilai ilmu naqli (agama) Islam dan aqli (akademik) dengan kemajuan teknologi moden.
Projek SMAN terbaharu ini dilihat bakal merintis pembaharuan terhadap corak pengaplikasian teknologi AI terkini secara menyeluruh, termasuk dalam sistem pentadbiran dan penyampaian, selain pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
Setakat ini, Sabah sudahpun mempunyai lima SMAN iaitu SMAN Beaufort, SMAN Tambunan, SMAN Sandakan, SMAN Kota Marudu dan SMAN Putatan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata (gambar) rancangan itu diperkenalkan sebagai langkah strategik dalam memperkasa pendidikan Islam yang seimbang antara pengisian rohani, ilmu dan kemajuan teknologi.
“Tapaknya sudah dikenalpasti dan terletak bersebelahan dengan Sekolah Agama Negeri (SAN) Apas Balung,” katanya sempena Majlis Ihya Ramadan, Malam Mencari Kekasih di Dewan Masyarakat Tawau di sini, pada Ahad.
Hajiji berkata SMAN terbaharu itu juga akan diletakkan di bawah penyelarasan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), sama seperti SMAN yang lain.
Mengulas lanjut, beliau berkata komitmen itu mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menyokong usaha pemerkasaan pendidikan Islam dan pembangunan institusi agama secara berterusan.
“Kerajaan Negeri akan terus komited menyokong usaha-usaha pemerkasaan pendidikan Islam dan pembangunan institusi agama melalui kerjasama pelbagai pihak,” katanya.
Menurutnya kekuatan sesebuah negeri bukan sekadar bergantung kepada aspek pembangunan fizikal, bangunan tinggi dan pencapaian ekonomi, tetapi turut berpaksikan akhlak, kekuatan iman dan kesuburan ilmu yang berteraskan nilai agama.
Malah pembangunan pendidikan Islam tidak hanya melibatkan penyediaan infrastruktur, tetapi menjadi pelaburan jangka panjang dalam pembinaan modal insan seimbang dari segi rohani, intelek dan sahsiah.
“Sebab itu juga Kerajaan Negeri memberi perhatian serius terhadap pembangunan SMAN sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
“Usaha ini selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras utama kemajuan negeri,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut meluangkan masa melawat dan merasmikan SAN Apas Balung yang mencatat sejarah sebagai SAN pertama di Malaysia yang memperkenalkan sistem pengajaran dan pembelajaran berasaskan AI.
Menyentuh pengenalan inisiatif terbabit, Hajiji percaya pemasangan kemudahan Smart White Board di bilik darjah dapat menyokong kaedah pengajaran yang lebih interaktif, dinamik dan selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21.
“Pendekatan seumpama ini membuktikan pendidikan agama tidak ketinggalan dalam arus kemajuan teknologi, malah mampu bergerak seiring dengan inovasi semasa tanpa mengorbankan nilai adab, akhlak dan jati diri Islam.
“Di sinilah anak-anak kita bukan sahaja diasuh dengan ilmu agama dan al-Quran, tetapi turut dipersiapkan dengan kemahiran teknologi serta pemikiran kritis untuk menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Tambahnya, pembangunan negeri yang mampan perlu berpaksikan keseimbangan antara kemajuan material dan kekuatan rohani bagi menjamin kestabilan sosial, keharmonian masyarakat serta kemajuan Sabah secara menyeluruh.