Tenom: Masalah empangan air sawah padi yang runtuh akibat banjir besar tahun lalu di Sungai Malutut dan Oloson, Melalap, akan segera ditangani bagi memastikan kelangsungan aktiviti penanaman padi di kawasan terjejas.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaffar, berkata pembinaan semula empangan serta penambahbaikan sistem pengairan akan dilaksanakan dengan kadar segera bagi memulihkan bekalan air ke sawah padi.
Menurut beliau, langkah itu melibatkan kawasan Kampung Kasiai, Langsat, Sawang, Sumbiling serta beberapa perkampungan sekitar yang menempatkan ramai pengusaha padi.
“Kita akan melaksanakan pembinaan baharu dan meluruskan sungai supaya pengairan dapat diagihkan dengan lebih baik, khususnya di Kampung Kasiai.
“Di Kampung Langsat pula, sistem pengairan masih menggunakan kaedah lama seperti menyusun batu dan guni, dan perkara ini perlu ditambah baik. Situasi yang sama turut berlaku di Kampung Sawang,” katanya, Isnin.
Jamawi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap, menegaskan kesejahteraan petani sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, selain bantuan teknikal dan sokongan operasi akan diberikan bagi mengurangkan kerugian hasil tanaman.
Beliau turut memaklumkan kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan sedang diperkukuh bagi memantau dan mengurus sistem saliran air, terutama di kawasan yang sering terjejas akibat banjir di Melalap.
Sementara itu, wakil pengusaha padi, Junaidi Ampingan, menyuarakan harapan agar pembinaan semula empangan dapat dilaksanakan secepat mungkin demi kemudahan semua pengusaha yang masih mengusahakan tanaman padi di kawasan berkenaan.
Seorang lagi pengusaha padi, Marius Umbol, berharap projek tersebut dapat disiapkan sebelum musim utama penanaman padi 2026 bagi membolehkan sawah di Kampung Kasiai diusahakan sepenuhnya.
Terdahulu, Jamawi turut meninjau projek empangan air sawah padi yang telah siap dibina oleh JPS Tenom di Kampung Kalang, Tenom.