KENINGAU: Hujan berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan paras air meningkat di beberapa kawasan rendah di Kampung Kauran serta kampung berhampiran di daerah ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, paras air yang direkodkan pada Rabu lalu mencecah paras pinggang, namun keadaan masih terkawal sepanjang pemantauan dijalankan.
Katanya, anggota bomba masih berada di lokasi bagi memantau paras air dan memastikan keselamatan penduduk terjamin. Setakat ini, tiada pemindahan mangsa dilaksanakan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat turut menjalankan pemantauan susulan di Kg Kauran serta meninjau keadaan di Sungai Dangulad dan Sungai Liawan.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati paras air telah surut dan kekal terkawal walaupun hujan renyai masih berterusan.
Laluan trafik di kawasan terjejas masih boleh dilalui oleh kenderaan ringan dan berat.
Pemantauan berterusan dilakukan bagi melindungi keselamatan penduduk serta menilai sebarang perubahan paras air di lokasi panas banjir yang dikenal pasti.