Kota Kinabalu: Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Miss World, Julia Morley menyumbangkan RM300,000 bagi menyokong pembangunan Persatuan Autisme Sabah sempena Jelajah Beauty With a Purpose 2026.
Sumbangan itu diumumkan dalam temu bual bersama Ketua Pegawai Eksekutif HyperLive Entertainment dan pemegang francais Miss World Malaysia, Dr Sean Wong BBM, yang mengetuai misi kemanusiaan dan jangkauan komuniti di Sabah itu dari 4 hingga 10 Feb.
Jelajah tersebut turut disertai Miss World 2025 Opal Suchata serta Miss World Malaysia 2025 Taanusiya Chetty.
Dr Wong berkata inisiatif itu mencerminkan visi jangka panjang gerakan Beauty With a Purpose yang diasaskan Morley, iaitu memperkasa golongan muda untuk memacu perubahan sosial bermakna.
“Misi ini sangat mudah. Kami mahu memperkasa golongan muda untuk memberi impak lebih besar kepada masyarakat dengan menukar idea mereka kepada projek sebenar yang meningkatkan kualiti hidup,” katanya.
Semasa lawatan ke Persatuan Autisme Sabah di KKIP pada Khamis, Morley diberi taklimat mengenai perancangan menubuhkan kemudahan khusus bagi memperluas program pembangunan untuk kanak-kanak autisme dan keluarga mereka.
“Apabila Puan Morley mendengar mengenai rancangan itu, beliau bertanya apa yang mereka perlukan untuk memulakannya. Apabila diberitahu mengenai RM300,000 yang diperlukan, beliau terus menyatakan komitmen untuk menyumbang jumlah itu untuk membantu kanak-kanak autisme,” kata Dr Wong.
Beliau berkata Morley sebelum ini turut menyumbang AS$10,000 kepada persatuan itu dalam lawatan terdahulu, yang digunakan bagi membiayai program pembelajaran luar melibatkan aktiviti berkebun dan praktikal.
Delegasi berkenaan juga melawat Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Kota Kinabalu, di mana Morley menyumbang tambahan RM5,000 selepas tersentuh dengan persembahan muzik oleh kanak-kanak pekak.
Dr Wong berkata misi Beauty With a Purpose memberi keutamaan kepada projek mampan berbanding bantuan sekali sahaja, dengan Morley sendiri menilai inisiatif yang berpotensi memberi impak jangka panjang.
Jelajah Sabah itu turut bertujuan mempromosikan negeri berkenaan di peringkat antarabangsa dengan mengetengahkan budaya, masyarakat dan usaha kebajikan menerusi platform Miss World.
Opal Suchata, yang pertama kali melawat Sabah, berkata lawatan itu amat bermakna dan selari dengan usaha advokasinya.
Pelajar bidang perhubungan antarabangsa berusia 22 tahun dari Thailand itu berharap dapat memberi inspirasi kepada golongan muda dengan menggunakan platform globalnya untuk mengetengahkan isu sosial serta memupuk ketahanan diri.
“Saya mahu mereka melihat saya sebagai seseorang yang melalui kehidupan bersama mereka. Kadangkala kita berdepan kegagalan, tetapi itu bukan pengakhiran. Sebaliknya ia mengarah kita ke laluan lain,” katanya.