Kota Kinabalu: Muhammad Asnawi dalam sukan pelayaran dan jaguh pencak silat Nor Farah Mazlan dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sabah tahun 2023-24 pada majlis Anugerah yang berlangsung di Magellan Sutera Resort pada Jumaat.
Mereka menerima anugerah dan hadiah RM10,000 daripada Yang Dipertua Negeri Tun Datuk Seri Panglima Haji Musa Haji Aman.
Kedua-dua atlet tersebut memuji bapa mereka atas permulaan yang berjaya dalam sukan.
Asnawi, 20, yang berasal dari Inanam berkongsi bagaimana bimbingan bapanya mencetuskan perjalanan awalnya pada usia enam tahun.
“Saya kemudiannya menyedari bahawa ia adalah perkara terbaik yang berlaku kepada saya. Saya kemudian memutuskan untuk meneruskan dan berlatih bersungguh-sungguh, berharap untuk pergi jauh dalam sukan ini,” katanya.
Atlet negara yang berpangkalan di Langkawi itu turut melahirkan rasa terkejut apabila memenangi anugerah tersebut terutama selepas dinobatkan sebagai ahli sukan paling cemerlang pada 2021-22.
Asnawi telah mengorak langkah ketara sejak itu, memperoleh pingat gangsa di Sukan SEA Kemboja 2023 dan satu lagi gangsa di Sukan Asia Hangzhou 2024, di samping pingat emas di Sukan Malaysia Sarawak (Sukma) XXI 2024.
Sasaran utamanya adalah untuk layak ke Sukan Olimpik pada masa hadapan.
Nor Farah, 28, juga memulakan perjalanannya pada usia enam tahun di bawah sokongan bapanya dan meraikan kemenangan kedua berturut-turut pada anugerah tahun ini, susulan kejayaan pertamanya pada 2023.
“Saya sangat gembira kerana memenangi anugerah itu dua kali. Tiada rahsia untuk pencapaian saya. Saya hanya bekerja keras dan memberikan yang terbaik,” katanya.
Gadis Kota Belud itu telah mempamerkan pencapaian yang mengagumkan di pentas antarabangsa, setelah dinobatkan sebagai juara dunia di Dubai pada 2024, serta merangkul kejuaraan Asia pada 2023 dan memperoleh pingat emas pada Sukan SEA 2023.
Dia berharap untuk mencipta lebih banyak kejayaan tahun ini dan matlamatnya adalah untuk memenangi pingat emas dalam Kejohanan Asia, Sukan Asia dan Kejohanan Dunia tahun ini.
Pada malam itu juga menyaksikan Eddie Bernard dan Brenda Anellia Larry dipilih Olahragawan dan Olahragawati dalam kategori Para.
Eddy, 25, dari Beluran, meraih pencapaian cemerlang ketika Sukan Paralimpik 2024 di Paris, di mana dia mencipta sejarah dengan menjadi atlet pertama dari Sabah memenangi pingat gangsa dalam kategori 100m T44.
Atlet ranking kesembilan dunia itu juga merupakan pemegang rekod Asia semasa dalam kategori 100m T44.
Brenda, 21, telah merangkul emas pada Siri Para Dunia yang diadakan di Singapura pada 2023. Pemegang rekod S4 negara itu kini berada di kedudukan ke-5 di Asia dan ke-16 di dunia.
Sementara itu, Muaythai menyapu bersih kategori atlet harapan. Jaethen Jonagthan Quan menerima anugerah atlet lelaki terbaik manajaka atlet wanita terbaik menjadi milik Eva Anatasia Warren.
Anugerah jurulatih terbaik dimenangi oleh Arif Mulis (pencak silat) manakala Eva Wong (renang) membawa pulang anugerah jurulatih para.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Sabah Datuk Haji Roslie Ibrahim diberi penghormatan dengan anugerah tokoh sukan.
Pemenang lain ialah Spencer Soo Kok Heng (kepimpinan sukan), Persatuan Muaythai Sabah (persatuan sukan terbaik), Sepaktakraw (pasukan lelaki terbaik) dan Sabah FA (pasukan wanita terbaik).
Terdapat juga anugerah khas yang diberikan kepada Chong Man Kuen @Andrew, Borneo Samudera Sdn Bhd, Sabah Softwoods Bhd dan Jetama Sdn Bhd.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah isteri Yang Dipertua Negeri Toh Puan Hajah Faridah Tusin, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (MySpace) Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan pembantunya Datuk Seri Anil Sandhu serta Setiausaha Negeri Datuk Seri Safar Untong.