TAMBUNAN: Keunikan sistem Tagal di Sabah yang selama ini menjadi lambang kebanggaan dalam aspek pemuliharaan sungai dan daya tarikan ekopelancongan kini berhadapan ancaman biosekuriti yang amat serius.
Pengarah Perikanan Sabah Datin Dr Shuhadah Mustapha mengesahkan beberapa siri kejadian kematian mendadak melibatkan ikan pelian dan spesies lain di sungai utama yang mengamalkan Sistem Tagal di seluruh negeri berpunca daripada kehadiran virus berbahaya, iaitu Koi Herpesvirus (KHV).
Penemuan melalui analisis makmal itu mencetuskan kebimbangan kerana KHV merupakan ejen pembunuh pantas yang mampu memusnahkan populasi ikan air tawar dalam tempoh singkat.
Sehubungan itu, beliau menyarankan komuniti Tagal di kawasan terlibat serta kawasan yang belum mencatatkan kes kematian agar segera melaksanakan langkah proaktif melalui penuaian ikan secara terkawal.
Advertisement





