LAHAD DATU: Polis menahan tiga lelaki dalam dua operasi berasingan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah ACP Dzulbaharin Ismail berkata dalam operasi pertama pasukan menahan dua lelaki dan merampas 25 kilogram (kg) serbuk yang dipercayai ketum.
“Berdasarkan risikan, pasukan menahan sebuah Perodua Myvi di hadapan sebuah premis perkhidmatan kurier di Jalan Reno Fajar kira-kira jam 11 pagi.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan menemukan satu guni berisi 25 paket serbuk ketum seberat 25 kg yang dianggarkan bernilai RM2,125.
“Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Menurut Dzulbaharin pasukan turut menahan seorang lelaki tempatan pada hari yang sama kira-kira jam 4 petang selepas serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Cempaka. Hasil pemeriksaan menemui lima paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi syabu seberat 18.84 gram.
“Suspek juga didapati positif dadah. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sementara itu Dzulbaharin menegaskan operasi tersebut mencerminkan komitmen berterusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dalam membanteras jenayah termasuk aktiviti dadah di daerah ini.