PENAMPANG: Polis di sini menahan lima lelaki serta merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kes pecah rumah membabitkan sebuah kediaman tidak berpenghuni yang sedang diubah suai di sini.
Ketua Polis Daerah Penampang Superintenden Sammy Newton berkata semua suspek berusia antara 26 hingga 31 tahun itu ditahan dalam satu serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah daerah di sebuah rumah di Putatan, baru-baru ini.
Beliau berkata tangkapan itu berkaitan kejadian pecah masuk di sebuah hartanah kosong di Penampang dengan anggaran kerugian kira-kira RM10,000.
“Kami turut merampas pelbagai barangan yang disyaki harta curi serta bahan bukti berkaitan kes. Semakan latar belakang mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah dan kesalahan dadah.
“Ujian air kencing awal juga mendapati dua daripada suspek positif dadah,” katanya di sini pada Ahad.
Sammy berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh juga dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Beliau berkata polis daerah kekal komited membanteras jenayah harta benda dan menasihatkan penduduk supaya memastikan premis masing-masing, terutama hartanah kosong, dikawal keselamatannya dengan baik. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti jenayah digalakkan menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan,” tambahnya.