Kota Kinabalu: Tiga lelaki dipenjara antara 14 hingga 30 tahun dan diperintah dikenakan sebatan rotan kerana merogol dan menyerang ahli keluarga mereka yang belum cukup umur.
Ketiga-tiga mereka mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen A. Akhiruddin Acho, atas pertuduhan masing-masing.
Dalam kes pertama yang melibatkan seorang bapa, yang merogol anak perempuannya yang berusia 16 tahun dan tiga bulan, dipenjara 16 tahun dan dikenakan 12 kali sebatan rotan.
Dia merogol anak perempuannya itu di sebuah rumah di sebuah kampung, di sini, pada 21 Dis 2024.
Kesalahan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara antara 10 dan 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan bapa terbabit diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara.
Dalam kes kedua, seorang lelaki berumur 38 tahun dipenjara berjumlah 30 tahun dan dikenakan 10 kali sebatan rotan atas dua pertuduhan merogol anak saudara perempuannya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan lima kali sebatan rotan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh penangkapannya.
Semasa menjalani hukuman, mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani kaunseling pemulihan dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menamatkan hukuman penjara.
Lelaki itu merogol remaja perempuan berumur15 tahun itu dua kali pada 25 Julai 2023 jam 11 pagi dan 2 petang di semak di simpang ke sebuah kampung, di sini.
Dalam kes ketiga, seorang lelaki berumur 45 tahun dijatuhkan hukuman penjara berjumlah 14 tahun dan tujuh kali sebatan rotan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap adik iparnya yang berusia 17 tahun.
Dia dipenjara 12 tahun dan diperintah dikenakan lima kali sebatan rotan kerana melakukan perbuatan itu terhadap gadis terbabit dengan menyentuh kemaluannya pada jam 10 malam, 8 Mei 2018 di tepi padang sekolah, di sini.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun lagi beserta dua kali sebatan rotan sebagai hukuman tambahan kerana hubungan mereka.
Lelaki itu diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara secara berturut-turut.
Timbalan Pendakwa Raya Tham Pou Jin tampil untuk pendakwaan manakala ketiga-tiga mereka tidak diwakili.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang jenayah seksual, terutamanya yang melibatkan ahli keluarga atau kanak-kanak bawah umur dan siasatan menyeluruh akan diteruskan sehingga pelaku dibawa ke muka pengadilan.