Kota Kinabalu: Sabah menyasarkan untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam kontrak Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) daripada hampir 40 peratus pada 2025 kepada 60 peratus tahun ini.
“Tetapi untuk mencapainya, kita memerlukan kerjasama kukuh daripada PAC dan OPU bagi mewujudkan lebih banyak peluang kepada syarikat Sabah menyertai perkhidmatan kompleks, sama ada secara sendiri atau melalui kerjasama strategik.
“Ini juga menuntut syarikat Sabah serta pusat latihan seperti TAS Institute untuk mempergiat usaha membangunkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan industri,” kata Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun semasa Konvokesyen ke-12 TAS Institute of Oil and Gas di sini, Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kewangan Datuk Mohd Ishak Ayub.
Majlis itu menyaksikan seramai 53 graduan menerima diploma dalam kursus diperakui BTEC merangkumi pelbagai disiplin operasi kemudahan minyak dan gas, iaitu operasi kejuruteraan mekanikal, operasi kejuruteraan elektrik, operasi kejuruteraan instrumen dan operasi bilik kawalan.
“Sabah kini merupakan pengeluar minyak mentah terbesar Malaysia. Dengan aktiviti luar pesisir yang semakin pesat dan pembangunan bergerak ke perairan lebih dalam, Sabah berada pada kedudukan baik untuk menerajui fasa seterusnya pertumbuhan tenaga, sekali gus memastikan ekonomi kekal kukuh melalui kerjasama seluruh industri,” kata Masidi.
Seiring industri yang semakin kompleks, beliau menegaskan keperluan terhadap tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi yang dilatih mengikut piawaian antarabangsa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TAS Institute dan anak syarikatnya, SEQU-TAS Offshore Safety, atas pelaburan awal dalam latihan tempatan yang memberi manfaat khusus kepada keluarga B40.
“Ramai graduan kita datang daripada keluarga B40, dan dengan memberikan anda kemahiran bertaraf dunia, TAS Institute membantu keluarga keluar daripada kemiskinan serta membina masa depan lebih kukuh untuk semua rakyat Sabah.
“Saya difahamkan ramai dalam kalangan anda menggunakan kejayaan anda untuk membantu adik-beradik mengikuti latihan di TAS Institute. Semangat ini, di mana kemajuan individu membantu mengangkat seluruh keluarga dan komuniti, adalah kerjasama yang ingin kita lihat,” katanya.
Masidi turut mengumumkan Kerajaan Sabah menyokong penuh Persidangan OGSE Sabah yang bakal dianjurkan oleh Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Sabah (SOGSC) dan Persatuan Kontraktor Petroleum Bumiputera Sabah (PKPBS) dari 4 hingga 6 Jun tahun ini.
Beliau mengambil maklum Majlis Kandungan Tempatan Sabah dan SMJ Energy, melalui Pasukan Petugas Bersama yang diterajui ConocoPhillips, berhasrat memperkukuh tenaga kerja OGSE dengan membina keupayaan teknikal dan kepimpinan, meningkatkan kesiapsiagaan bakat serta menyelaraskan latihan dengan keperluan industri masa depan.
“TAS Institute telah membangunkan dan melatih lebih 2,000 graduan mahir minyak dan gas yang kini menyumbang bukan sahaja di Sabah, tetapi di seluruh negara.
“Kerajaan Sabah menggalakkan TAS Institute mempercepat momentum ini dengan terus melatih bakat berkualiti tinggi dan seterusnya berkembang sebagai pusat kecemerlangan yang diiktiraf dalam industri,” katanya.
Majlis tersebut turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara TAS Institute of Oil and Gas dengan Sabah Shell Petroleum Company Limited serta ConocoPhillips Sabah Gas Ltd.
Hadir sama, Pengerusi TAS Institute of Oil and Gas Datuk Willie Ng.