TONGOD: Sebuah rumah kuarters dua pintu milik Klinik Kesihatan Tongod musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran, awal pagi Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.40 pagi sebelum jentera dari Kota Kinabatangan dikerahkan sejauh 172 kilometer ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah rumah kuarters jenis separuh kekal yang terbakar 100 peratus.
“Sebuah rumah tidak kekal berhampiran turut terbakar kira-kira 20 peratus.
“Turut terjejas, sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max yang mengalami kerosakan sekitar 10 peratus,” katanya dalam kenyataan media, Isnin.
Operasi pemadaman melibatkan enam anggota BBP Kota Kinabatangan serta empat anggota Pasukan Bomba Sukarela Saguon yang menggunakan pam angkut dan sumber air dari pili bomba berhampiran, selain salur bantu mula dari jentera bomba.
Kebakaran dikawal pada jam 6.48 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya kira-kira jam 7.58 pagi selepas kawasan disahkan selamat.
“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.
“Tiada mangsa dilaporkan dan semua anggota bertugas dalam keadaan selamat,” katanya.