SANDAKAN: Jabatan Perhutanan Sandakan kini diterajui Zulkifli Suara, yang secara rasmi mengambil alih tugas sebagai Ketua Konservator Hutan Sabah dalam Majlis Amanat dan Penyerahan Tugas yang berlangsung di Ibu Pejabat jabatan itu pada Selasa.
Majlis berkenaan menyaksikan sesi penyerahan Nota Serah Tugas oleh bekas Ketua Konservator Hutan Sabah Datuk Frederick Kugan kepada Zulkifli, sekali gus menandakan peralihan kepimpinan yang teratur dan profesional selaras dengan amalan tadbir urus terbaik dalam perkhidmatan awam.
Dalam amanat terakhirnya , Frederick merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga jabatan atas sokongan, kerjasama dan komitmen tidak berbelah bahagi sepanjang enam tahun beliau menerajui jabatan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa segala kejayaan dan pencapaian yang diraih merupakan hasil usaha kolektif semua peringkat warga kerja, daripada pengurusan tertinggi hingga ke pasukan lapangan yang menjadi tulang belakang pengurusan sumber hutan negeri.
Sementara itu, dalam amanat sulungnya, Zulkifli menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan untuk memimpin jabatan berkenaan.
Beliau menyeru agar seluruh warga jabatan terus memperkukuh komitmen dalam melaksanakan agenda pengurusan hutan secara lestari di samping meningkatkan tadbir urus dan integriti dalam pengurusan sumber hutan negeri.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Frederick atas perkhidmatan selama 39 tahun bersama Jabatan Perhutanan Sabah, serta sumbangan dan dedikasi beliau dalam memacu kecemerlangan sektor perhutanan negeri ke tahap yang lebih membanggakan di peringkat nasional dan antarabangsa.