Kota Kinabalu: Jabatan Hidupan Liar Sabah dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan tiga individu dalam Operasi Bersepadu Khazanah, pada Isnin, kerana disyaki memiliki serta menyediakan hidupan liar untuk dijadikan hidangan eksotik di sebuah resort pelancongan di Semporna.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Mohd Soffian Abu Bakar berkata, pihak penguat kuasa merampas seekor tenggiling Sunda hidup (Manis javanica), iaitu spesies dilindungi sepenuhnya, selain beberapa hidangan yang telah dimasak dan dipercayai mengandungi hidupan liar dilindungi.
“Beberapa individu telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tenggiling Sunda merupakan spesies dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual I Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.
“Tiada lesen atau permit dikeluarkan kepada mana-mana individu atau premis, termasuk premis pelancongan, untuk memiliki, menyimpan, menjual atau menghidangkan spesies ini sebagai makanan,” katanya.
Menurutnya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta hukuman penjara antara satu hingga lima tahun.
Soffian berkata, jabatan memandang serius sebarang aktiviti penyediaan hidupan liar dilindungi sebagai makanan eksotik kepada pelancong kerana amalan sedemikian bukan sahaja melanggar undang-undang malah berpotensi menjejaskan reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi yang bertanggungjawab.
“Jabatan memberi amaran keras bahawa tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat terhadap mana-mana premis pelancongan yang terlibat dalam jenayah berkaitan hidupan liar,” katanya.