Kota Kinabalu: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa kerana melakukan pencerobohan jenayah.
Abdul Latip Umar mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin kerana memasuki sebuah bilik sewa yang didiami Shahrizan Nasrin pada jam 2.30 petang, 16 Oktober 2025, di atas sebuah kedai kopi di Donggongon, Penampang, tanpa kebenaran.
Mahkamah mendapati Latip bersalah mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa pada hari kejadian, pengadu menyedari seorang lelaki tidak dikenali bertindak mencurigakan di dalam bilik anaknya.
Pengadu kemudian menghubungi anaknya yang bergegas pulang dan cuba menahan penceroboh berkenaan, yang kemudian dikenal pasti sebagai Latip.
Pergelutan tercetus apabila Latip cuba melarikan diri tetapi dia berjaya ditahan. Polis tiba tidak lama kemudian dan menahan semula Latip.
Sejumlah kecil syiling dipercayai barang curi ditemui padanya, mahkamah diberitahu.
Latip diperintahkan menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap.
Dalam kes berasingan, seorang lagi lelaki didenda RM6,000 atau penjara 11 bulan kerana memiliki beg silang Coach curi.
Jurujual Marzaly Matsun, 41, mengaku bersalah mengambil beg kepunyaan Ken Chee Cheong pada 15 Januari tahun ini kira-kira jam 2 pagi di Taman Kemajuan, Likas.
Pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa beg berkenaan merupakan antara beberapa barangan yang hilang dari rumah pengadu selepas dipecah masuk pada 1 Januari.
Siasatan polis susulan laporan yang dibuat pengadu membawa kepada penahanan Marzaly pada 11 Februari.
Marzaly didakwa di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Tidak diwakili, Marzaly merayu hukuman ringan dengan memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai anak untuk ditanggung dan memohon agar tidak dipenjarakan.
Inspektor Yusdi Basri yang melakukan pedakwaan memohon hukuman pencegahan.