KENINGAU: Kejohanan Bola Keranjang Piala Newbee Keningau yang pertama membuka lembaran baharu dalam pembangunan sukan itu di daerah ini apabila berjaya menghimpunkan komuniti sukan dan 12 pasukan sekitar Keningau.
Kejohanan yang diadakan baru-baru ini telah dirasmikan oleh Presiden Persatuan Bola Keranjang Sabah dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia, Phan Chee Yong.
Dalam ucapannya, Phan memuji usaha Persatuan Bola Keranjang Keningau Newbee yang walaupun baru ditubuhkan tetapi telah menunjukkan komitmen dan keupayaan organisasi yang mengagumkan dalam menganjurkan kejohanan berskala daerah.
Menurutnya, membina organisasi sukan biasanya mengambil masa untuk mengukuhkan struktur dan pengalaman pengurusan, namun semangat dan kerjasama yang ditunjukkan penganjur membuktikan komuniti bola keranjang di Keningau berpotensi besar untuk terus berkembang.
Phan berkata, bola keranjang bukan sekadar sukan kompetitif, malah platform penting yang boleh memupuk perpaduan, semangat berpasukan dan persahabatan, serta memberi ruang kepada generasi muda untuk terlibat dalam aktiviti sihat dan positif.
Phan juga berharap Kejohanan Piala Newbee Keningau dapat dijadikan acara tahunan dan seterusnya berkembang menjadi pertandingan yang dapat mewakili daerah Keningau dan negeri Sabah amnya pada masa hadapan.
Majlis perasmian itu turut menghimpunkan beberapa tokoh yang telah lama menyumbang kepada pembangunan bola keranjang di Keningau, antaranya bekas Presiden Persatuan Bola Keranjang Keningau Fabian Koh, Presiden semasa Liew Wen Kae dan Timbalan Presiden Tan Wan Meng.
Turut hadir Timbalan Presiden Persatuan Bola Keranjang Sabah Ho Shin Yung dan Presiden Persatuan Bola Keranjang Tenom Anderson Chu Cheong Xin.
Bagi komuniti sukan tempatan, kejohanan ini bukan sekadar acara sukan, tetapi juga lambang bahawa usaha memupuk minat sukan di kalangan generasi muda terus hidup dan berkembang di kawasan luar bandar seperti Keningau.